Friday, July 24, 2009

Rahsia Wudu’ Menurut Biologi


Sejarah silam telah membuktikan bahawa Islam adalah agama yang telah banyak melahirkan ahli-ahli sains. Segala fenomena yang biasa atau luar biasa terlebih dahulu termaktub dalam Al-Qur’an. Hatta zarah pun ada disebut dalam Al-Qur’an.

Ibnu Sina, Al-Razi, Jabir dan ramai lagi saintis Islam sudah lama menghiasi dunia sains dengan penemuan dan penciptaan yang berkaitan dengan Allah S.W.T. Segala ilmu sains dan keajaibannya sudah diturunkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sebagai contoh, lalat adalah serangga yang boleh membawa pelbagai penyakit. Dalam hadis Rasulullah S.A.W ada menyatakan bahawa jika ada seekor lalat telah terjatuh atau terhinggap di minuman kita, kita hendaklah merendamkan kedua-dua belah sayap lalat itu ke dalam minuman kita sebelum meminumnya semula. Ini adalah diriwayatkan bahawa sebelah sayap adalah beracun dan sebelah lagi adalah penawar bagi racun tersebut.

Fenomena ini telah dibuktikan oleh saintis yang menyatakan bahawa memang benar lalat mempunyai sebelah sayap yang membawa penyakit tetapi penawar pada sebelah lagi sayapnya. Unik bukan….! Ini adalah sebahagian daripada bukti bahawa Islam sendiri sudah terkandung 1001 macam ilmu sains yang boleh dikaji.

Kita lihat pengaplikasian tekanan osmosis dalam Islam iaitu semasa kita mengambil wudu’ ataupun ketika bertayammum. Proses osmosis ialah pergerakan molekul cecair dari kawasan berkepekatan rendah ke kawasan berkepekatan tinggi. Pada muka kita, boleh dikatakan terdapat 1001 mikrob atau kuman yang kita tidak sedari. Apabila kita mengambil wudu’, ia akan mengakibatkan segala mikrob yang terdapat pada muka kita akan mati apabila kadar resapan air yang berlebihan ke dalam sel mikrob. Sel mikrob ini akan mengalami pengembangan yang berlebihan dan akhirnya pecah lalu mati.

Berlainan pula apabila bertayammum. Semasa kita menyapukan debu ke muka, tekanan osmosis yang tidak sama akan berlaku di mana air daripada sel-sel mikrob akan keluar bagi mengimbangi tekanan osmosis di kedua-dua medium. Kadar osmosis berlebihan berlaku dan akhirnya sel-sel mikrob akan mengalami plasmolisis iaitu pengecutan sel yang berlebihan secara osmosis lalu mati.

Begitulah keadaannya kepada semua anggota wudu’ yang terlibat. Inilah yang dikatakan hikmah yang tersirat dalam sains mengenai segala dalam ajaran Islam.

Wallahua’lam…

Wednesday, July 22, 2009

Tahajud Dari Perspektif Perubatan

Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali sebagai shalatulail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

Dalam Al-Qur’an terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W mengenai perkara ini.


TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara 6-8 jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang professor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian iaitu tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selama tiga jam. Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peratuan yang diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.

Mengikut kajian ahli perubatan Barat, sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa mangantuk (drowsiness) dimana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

Rasulullah S.A.W telah memberikan contoh yang baik untuk tidur dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur mlam seperti :

· Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
· Tunaikan solat Isya’ sebelum tidur.
· Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.
· Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
· Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari pada bulan pertama latihan,pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.
Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doctor dari China – Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.
Di dalam Al-Qur’an ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam. Firman Allah dalam Al-Qur’an yang bermaksud :
“ Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” (surah az-Zariat : 15-18).


PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT

Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang.

Bila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab : “The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep.”

Maksudnya “Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum saya tidur.”

“The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night.”- Longfellow

Maksudnya “Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur.”

Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur.

Dari segi fikiran logic, kita akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.

Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dan gerak otot itu sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepasa matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidak merasa nikmat oksigen ini.


RAHSIA PERGERAKAN OTOT DALAM SOLAT

Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat. Secara kasar, pada mula kita berdiri tegak (qiyam) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan letakkan tangan di atas pusat – kita telah membesarkan rongga dada kita manakala paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan.

Ketika ruku’ dengan badan membengkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar (parallel to the ground) sekaligus ianya menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkin.

Waktu sujud pula, seluruh berat badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki, dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan.

Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri kembali. Dalam gerak badan kali ini kita telah secara automatic menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada, bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bahagian bawah dan lain-lain otot lagi.

Selain dari itu kita juga melakukan dua macam duduk – pertama, duduk antara dua sujud dan kedua, duduk tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit, pengkal peha, kelengkang, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain.

Kalau kita lihat dari dua perkara tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot yang semuanya ini sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita.

Solat tahajud juga boleh menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam.

Wallahua’lam……

Monday, July 20, 2009

Lembaran Hidup Wanita Solehah...

Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah..
Agung cintanya pada ALlah dan Rasulullah
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah
Penawar hati kekasih ALlah
Susah dan senang rela bersama

Dapatkah aku didik jiwa seperti Siti Aisyah..
Isteri Rasulullah yang bijak
Pendorong kesusahan dan penderitaan
Tiada sukar untuk dilaksanakan

Mengalir air mataku
Melihat pengorbanan puteri solehah Fatimah
Akur dalam setiap perintah
Taat dengan abuyanya yang sentiasa berjuang
Tiada memiliki harta dunia
Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga

Ketika aku marah
Inginku intip serpihan sabar
Dari catatan hidup Siti Sarah

Tabahkah jiwaku
Setabah umi Nabi Ismail
Mengendong bayinya yang masih merah
Mencari air penghilang dahaga
Di terik padang pasir marak
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah
Pengharapannya hanya pada ALlah
Itulah wanita Siti Hajar

Mampukah aku menjadi wanita solehah..
Mati dalam keunggulan iman
Bersinar indah, harum tersebar
Bagai wanginya pusara Masyitah..

Friday, July 17, 2009

Ya Rabb...

Kiranya daku menjadi seorang isteri
Kurniakanlah aku tulang belakang seorang suami
Pengembang perjuangan di sayap kiri
Diadun dengan kelembutan
Menjadi teman sejati, sahabat setia, penyejuk mata
Pembina semangat dan penguat jiwa
Seanggun peribadi Saidatina Khadijah
Ketenangan baginda Rasulullah utusan ALlah

Namun ya ALlah..
Siapalah daku untuk memiliki watak wanita solehah pendamping Nabi
Dek berkaratnya mazmumah yang bersarang di hati
Maka kurniakanlah daku ya ALlah
Sekeping hati yang sentiasa insaf
Biar ku tadahkan wajahku
Buat mengusap debu di telapak kakinya

Dan daku sememangnya mengimpikan watak seorang ibu
Yang bakal melahirkan putera-putera secekal Musa 'ab bin Umar
Menggadaikan dunia demi kasih Tuhannya
Segigih Zubair Ibnu Awaam
Yang diangkat Rasul sebagai Hawarijnya
Hasil didikan seorang wanita bergelar ibu jua
Memiliki puteri setabah dan seteguh hati Masyitah
Atau sesuci Maryam..seluruh hidupnya mengabdikan diri kepada ALlah
Meskipun daku bukanlah ibu Syeikh Abdul Kadir Jailani
Yang tiap titis darahnya mampu berzikir ke hadrat Ilahi

Namun..
Mudah-mudahan bakal zuriatku
Merupakan bakal yang menampilkan
Mujahid mujahidah yang sentiasa rindu memburu syahid
Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman....

Keajaiban Saintifik Al-Qur’an : Siri 3

Asas Tenaga Nuklear disebut di dalam Al-Qur’an

Keradioaktifan telah wujud secara semulajadi, tetapi perkara itu tidak diketahui sehinggalah akhir kurun ke-19, sedangkan di dalam Al-Qur’an sudah ada satu surah dikenali al-Hadid yang memperkatakan mengenainya.

Istilah al-Hadid merujuk kepada logam besi. Di dalam keadaan semulajadi, besi wujud sebagai satu sebatian dengan logam dan galian lain, antaranya logam radioaktif seperti uranium, plutonium dan radium. Apa yang menarik ialah firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 25 :
“…Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu)..”.

Kejadian letupan bom atom Hiroshima dan Nagasaki membuktikan kebenaran ayat ini sebagai bukti kekuasaan Allah yang menjadikan besi itu kekuatan yang terlalu besar. Setengah kilogram uranium dapat menghasilkan tenaga haba satu megawatt sehari. Bayangkan, jika sebuah Negara itu mempunyai berjuta tan uranium yang disimpan untuk tujuan peperangan nuklear.

Hakikat keradioaktifan hanya diketahui pada akhir kurun ke-19 membabitkan dua perkara besar yang ditemui ketika itu yang membenarkan penemuan radioaktif. Pertama, sinar-X yang ditemui pada 1985 oleh Wilhem Konrad Rontgen, yang didapati berupaya menghasilkan pendaflour pada kaca tiub-X. Kedua, kajian oleh Henri Becquerel, yang mendapati bahawa apabila kalium uranil sulfat diuja oleh sinaran ultra ungu, ia menghasilkan pendaflour.

Pengetahuan selanjutnya mengenai keradioaktifan diperluaskan oleh Pierre dan Marie Sklodowska Curie pada 1989. Marie Curie mendapati sinaran uranium yang dilaporkan oleh Becquerel juga boleh didapati daripada Garam torium. Dalam kajiannya, suatu unsur yang menghasilkan kerdioaktifan yang tinggi dijumpai daripada proses pemisahan menggunakan biji uranium hingga mewujudkan satu sinaran yang sama sifatnya dengan sinar-X.

Kajian Earnest Rutherford mengenai daya penembusan sinar radioaktif menunjukkan wujud tiga jenis sinaran, iaitu yang dapat diserap oleh kepingan aluminium nipis dinamakan alfa (α), yang dapat diserap beberapa keping aluminium ialah beta (β), manakala yang tidak dapat diserap oleh kedua-dua bahan dikenali sebagai gamma (γ).

Sejak itu, pelbagai jenis kajian dilakukan oleh saintis untuk memahami sinaran radioaktif. Sifat sinaran seperti cas, dan jisim diukur. Kini, sifat bahan dan sinaran radioaktif boleh diketahui dan difahami melalui beberapa kaedah dan teori tindak balas nukleus, tindak balas antara sinaran dan jisim, dan pereputan radioaktif hingga dapat menerangkan hampir segala fenomena yang ditemui.

Apabila stesen kuasa nuklear pertama dibuka pada 1950-an, teknologinya dianggap sebagai salah satu pencapaian besar dalam sains moden. Hari ini, banyak orang berpendapat, usaha membuat nuklear adalah satu kesilapan yang akan menimbulkan masalah besar bagi planet dan manusia. Namun, dengan pengendalian berhati-hati, ia dapat memberi manfaatnya.

Sebenarnya masih ada harapan kuasa nuklear digunakan secara selamat dan terkawal. Kuasa ini banyak kegunaan dalam perubatan. Kemajuan berterusan bermakna kita boleh mengesan dan merawat penyakit serius seperti barah. Banyak perkara menakutkan mengenai tanaga nuklear. Sesetengah orang menyebutnya sebagai “tenaga yang bukan semulajadi”, sungguhpun cahaya dan haba yang diterima setiap hari daripada matahari, adalah hasil tindak balas termonuklear.

Kita harus benar-benar memahami sifat tenaga nuklear dan teknologi moden yang digunakan untuk memanfaatkannya. Kita harus belajar kesilapan yang lalu dan jangan membiarkan rasa takut menghalang kemajuan. Satu perkara yang pasti ialah, kita sekarang hidup dalam apa yang dikatakan sebagai ‘zaman nuklear’.

Jantung sebuah stesen kuasa nuklear terletak pada reaktornya. Berlaku satu tindak balas pembelah nuklear terkawal yang menghasilkan haba. Haba ini dibawa jauh oleh satu bahan pendingin yang beredar melalui teras reaktor dan digunakan untuk menjana stim dan kemudian memacu turbin intuk menjana tenaga elektrik. Kuasa nuklear menghasilkan 15% kuasa elektrik yang dijanakan di dunia. Pada sestengah Negara, reaktor penyelidik hanya menyediakan sumbangan pada bekalan elektrik. Pada Negara lain pula, kuasa nuklear adalah sumber tenaga elektrik yang utama. Pada stesen kuasa elektrik, satu tan uranium yang digunakan sebagai bahan api untuk reakror nuklear, menghasilkan sama banyak tenaga dengan 20,000 tan arang batu.

Selepas keghairahan awal tentang nuklear berkurangan, kita sedar bahawa kuasa ini memerlukan kawalan yang berhati-hati dan mahal bagi memastikan keselamatan awam di samping beberapa masalah jangka panjang. Sumber lain terutamanya pembakaran fosil, mempunyai masalah tersendiri. Lagipun, bahan api fosil tidak kekal dan mungkin kehabisan menjelang pertengahan abad akan datang. Jika mahu terus menggunakan tenaga, maka kita terpaksa bergantung kepada sumber alternatif. Kuasa nuklear adalah salah satu alternatif yang berpotensi untuk digunakan. Namun, kita harus mengambil langkah selamat untuk memastikan tidak berlaku kesan sampingan tidak diingini, kegunaan sinaran dalam bidang lain agak kurang menimbulkan perbalahan, terutama dalam bidang perubatan. Tiada siapa pun yang boleh mengenepikan kemajuan diagnosis dan rawatan yang dicapai oleh perubatan nuklear.

Thursday, July 16, 2009

Sekadar Renungan Kita Bersama..

Pernah tak kita semua renungkan…betapa kita tidak sanggup untuk bangun malam buat solat sunat..
Tapi, sanggup tak tidur malam untuk buat assignment..
Tahukah kita semua, Ibnu Sina, studynya disulami dengan zikir..
Apabila terasa buntu, segera bangkit dan solat 2 rakaat minta petunjuk dari ALlah..
Kita?? Studynya disulami dengan lagu-lagu lagha..
Kononnnya lebih mudah untuk masuk ke otak..
Bila buntu, terasa otak sudah tepu, mulalah mencari hiburan atau paling kurang menggangu kawan.

Tapi, bila ditanya, pandai berkata-kata
Jika belajar diniatkan kerana ALlah, insyaALlah akan mendapat pahala
Agak-agaknya, kerana ALlah ke kita dengar lagu-lagu Mariah Carey, Siti Nurhaliza dan sebagainya?
Atau kita niatkan kerana ALlah kah bila menatap majalah HAI!,Mangga, URTV etc..?
Atau kerana ALlah kah kita menonton filem-filem yang melalaikan..?

Bila hati terasa gelap, sukar untuk menerima ilmu, mula lah bertanya sendiri..
Apa silap diri??..
Sembahyang tak pernah sampai waktu habis..
Tak pernah aku berdating atau berkasih-kasihan..
Tapi, sedar tak kita bahawa maksiat itu luas pengertiannya?

Mencuaikan solat adalah maksiat pada ALlah
Melihat orang lain membuat maksiat juga adalah maksiat
Apatah lagi bila melihat aurat orang lain contohnya dalam majalah hiburan..
Macam mana lah hati tak gelap..
Nak terima ilmu dunia pun terasa payah apatah lagi bila sentuh tentang akhirat
Beringatlah kita..matlamat kita bukan sekadar untuk menjadi doctor , engineer dan sebagainya..
Tapi juga hamba ALlah yang akan dipandangNya di akhirat nanti.

Sipakah yang akan membantu kita di padang Masyhar nanti??
Nak mintak syafaat para artis ke??
Ana risau, takut-takut RasululLah tak pandang langsung kat kita
Nak kenal ikut tanda sujud pun, sujud tak pernah lama..setakat cecah dahi kat sejadah lebih kurang satu saat..kalau ikut bekas wudhu’ pulak, wudhu’ tak pernah sempurna..
Jadi, kalau RasululLah tak kenal, macam mana baginda nak mengaku yang kita ni umatnya??
Apalah agaknya nasib kita yang bergelumang dosa ni di hari hisab nanti?...

Takutnya bila ana fikirkan..terasa nak berhenti dari belajar
Nak beribadat sahaja..
Tapi, pesan RasululLah, kita kena kejar dunia dan akhirat
Dengan ilmu, kita boleh menguasai ekonomi yang diterajui kuffar!
Dengan ilmu, kita boleh menerajui pimpinan Negara
Kalau tanpa ilmu, kita akan dipandang hina dan tidak berguna..

Tapi…..kalau kita masih terus lalai begini, agak-agaknya siapa yang rugi???
Sama-sama kita renungkan..wallahua’lam

Thursday, July 9, 2009

Keajaiban Saintifik Al-Qur’an : Siri 2


Kewujudan alam semesta

Asal usul alam semesta diterangkan dalam Al-Qur’an dalam ayat berikut :
“Dia adalah Maha Pencipta langit dan bumi” surah Al-An’aam : 101

Maklumat yang dinyatakan dalam Al-Qur’an ini adlah satu fakta yang sangat tepat dan selari dengan penemuan sains kontemporari. Kesimpulan yang dicapi dalam bidang astrofizik hari ini ialah bahawa alam semesta, bersama-sama dengan dimensi benda dan masa, telah terhasil melalui satu letupan yang besar yang terjadi ketika masa-sifar. Fenomena ini yang dikenali sebagai Big Bang membuktikan bahawa alam semesta telah diciptakan dari ketiadaan sebagai satu produk, dari satu letupan titik tunggal. Golongan saintifik moden percaya bahawa Big Bang adalah satu-satunya penerangan paling rasional dan fakta yang dapat dibuktikan mengenai permulaan dan asal kewujudan alam semesta.

Sebelum fenomena Big Bang terjadi, tidak terdapat sebarang benda yang wujud. Dalam keadaan tanpa sebarang kewujudan kebendaaan, tenaga atau masa, dan yang mana hanya dapat diterangkan secara metafizik, semuanya ini sebenarnya telah diciptakan. Fakta ini yang baru diketahui melalui kajian dalam bidang fizik moden, telah dinyatakan dalam Al-Qur’an 1400 tahun lalu.


Pengembangan alam semesta

Dalam Al-Qur’an yang diwahyukan 1400 tahun lalu, ketika pengetahuan tentang astronomi masih sedikit, fakta mengenai pengembangan alam semesta telah diterangkan seperti berikut :
“Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya” surah Az-Dzariyat : 47

Perkataan ‘langit’ yang dinyatakan dalam ayat di atas digunakan dalam banyak tempat dalam Al-Qur’an yang bermaksud ruang angkasa dan cakerawala. Di sini sekali lagi, perkataan ini digunakan untuk maksud ini. Dalam perkataan lain, Al-Qur’an mendedahkan hakikat mengenai proses pengembangan alam semesta. Dan ini merupakan puncak kesimpulan yang diputuskan oleh dunia sains hari ini.

Sehingga penghujung abad ke20, pandangan yang paling masyhur dalam dunia sains ialah bahawa ‘alam semesta mempunyai sifat konstan (static) dan telah wujud tanpa keterbatasn masa’. Kajian, pemerhatian pengiraan yang dijalankan melalui seluruh infrastruktur teknologi moden, sebenarnya telah menunjukkan bahawa alam semesta telah wujud dalam masa yang terbatas dan berkembang secara konstan.

Pada permulaan abad ke20, seorang ahli fizik Russia Alexander Friedmann dan ahli kosmologi Belgium George Le’maitre telah membuat pengiraan secara teori bahawa alam semesta adalah dalam keadaan pergerakan yang berterusan dan ia sebenarnya berkembang.

Fakta ini juga dibuktikan melalui data dari pemerhatian yang dijalankan pada tahun 1929. Edwin Hubble seorang ahli astronomi Amerika yang membuat pemerhatian di langit dengan menggunakan teleskop, mengisytiharkan bahawa bintang-bintang dan galaksi-galaksi bergerak menjauhi antara satu sama lain secara berterusan. Sebuah alam semesta di mana semua benda di dalamnya secara konstan bergerak menjauhi sesame mereka, jelas menggambarkan pengembangan alam semesta itu. Pemerhatian yang dijalankan dalam tahun berikutnya mengesahkan bahawa alam semesta adlah berkembang secara berterusan. Fakta ini telah dijelaskan dalam Al-Qur’an ketika mana hal ini masih belum lagi pernah diketahui oleh manusia. Ini adalah kerana Al-Qur’an adalah kalam Tuhan, Maha Pencipta dan Pemerintah bagi seluruh alam semesta.

Keajaiban Saintifik Al-Qur’an : Siri 1

14 abad lalu, Tuhan telah menurunkan kitab Al-Qur’an kepada umat manusia sebagai satu kitab panduan. Dia menyeru manusia agar berpegang kepada kitab ini sebagai jalan untuk mendapatkan kebenaran. Bermula saat ianya diwahyukan sehingga ke saat pengadilan kelak, kitab suci ini akan kekal sebagai satu-satunya panduan bagi umat manusia.

Gaya uslub dan ketinggian hikmah yang tiada tandingan yang terdapat di dalam kitab ini adalah bukti yang amat jelas bahawa ianya adalah kalam suci Tuhan. Sebagai tambahan, kitab ini mengandungi ciri-ciri keajaiban yang membuktikan bahawa ianya adalah wahyu kudus dari Tuhan. Satu dari ciri-ciri ini ialah kenyataan bahawa sejumlah kebenaran saintifik yang hanya mampu disingkap melalui kamajuan teknologi di abad ini sebenarnya telah pun diungkapkan di dalam Al-Qur’an 1400 tahun dahulu.

Sudah tentu Al-Qur’an bukanlah sebuah kitab sains. Tetapi banyak fakta-fakta saintifik yang dinyatakan secara jelas dan dengan cara yang amat mendasar dalam surahnya hanya mampu disingkap melalui kecanggihan teknologi abad ke 20. Semua fakta ini tidak diketahui ketika masa penurunan wahyu dan ini adalah juga bukti bahawa Al-Qur’an adalah kalam Tuhan. Untuk memahami keajaiban saintifik Al-Qur’an, pertamanya kita akan melihat tahap kemajuan sains ketika mana kitab suci ini diturunkan.

Pada abad ke7, ketika Al-Qur’an diwahyukan, masyarakat arab telah pun memiliki kepercayaan khurafat dan yang tidak berasas yang berkaitan dengan isu-isu saintifik. Kedaifan peralatan teknologi untuk menyelidiki alam semesta dan bumi menyebabkan masyarakat ini mempercayai kepada lagen-lagenda yang diwariskan dari generasi ke generasi. Mereka mendakwa sebagai contoh, bahawa gunung-ganang menongkat langit, mereka percaya bumi adalah datar dan bahawa di sana terdapat gunung-ganang yang tinggi terletak di setiap penghujungnya. Mereka menyangkakan bahawa gunung-ganang ini adalah tiang yang menyebabkan kubah langit di atas.

Tetapi, semua pepercayaan khurafat masyarakat ini ditolak oleh Al-Qur’an. Dalam surah Ar-Ra’d ayat ke 2 dinyatakan : “Tuhanlah Dia yang meninggikan langit-langit tanpa tiang..”
Ayat ini telah membatalkan kepercayaan bahawa langit yang berada di atas kerana sokongan gunung-ganang. Dalam banyak subjek lain, fakta-fakta penting telah dinyatakan ketika mana tiada seorang pun yang dapat mengetahuinya. Al-Qur’an diturunkan ketika umat manusia hanya mengetahui sedikit mengenai astronomi fizik atau biologi yang mengandungi fakta mengenai pelbagai subjek penciptaan alam semesta, manusia, struktur atmosfera keseimbangan yang membenarkan kehidupan di atas muka bumi. Sekarang, mari kita lihat beberapa keajaiban saintifik yang dinyatakan di dalam kitab suci Al-Qur’an bersama-sama…

Tuesday, July 7, 2009

Tetamu tetap kita..

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyahut kedatangan tetamu tetapku. “Assalamualaikum”, seru Subuh. “Wa’alaikumsalam”, sahutku. Dan kami terus berpelukan, tanda rindu dan kasih saying. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat. “Tadi…”, kata Subuh dengan sayu, “…aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, ke rumah-rumah yang sunyi, tapi satu pun tiada yang mahu menerimaku sebagai tetamu.” Dan airmata Subuh pun berlinangan. “Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan.” Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu. “Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kegembiraan,, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling kusukai adalah buah Tahajjud, puas kucari di bumi lain, tapi jarang kujumpa. Di sana aku maratah buah Tahajjud dengan puas serta leka”. Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud Subuh.” Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkan mu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada Roti Syiham”, cadangku kepada Subuh. Subuh menolak dengan hormat. “Roti itu ada tuan yang punya”, kata Subuh. “Adakah kau mahu manisan Zikir?” rayuku pada pada Subuh. “Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan Taubat, pinta Subuh. Aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Air Mata Tangisan sudah hamper kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan Air Mata tersebut.
Aku terkejut. Perigi tersebut hamper separuh penuhnya. Dan aku berdetik di dalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dia kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman. “Subuh…”, seruku, “…mahukah kau bersama selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya, wahai Subuh”. Subuh tersenyum layu menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi. “Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan Kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, seperti mana aku menguliti mimpimu”. Dan aku aku akur dengan penjelasan Subuh. “Subuh…”, seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi, “sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?” “InsyaAllah”, jawab Subuh, “….bukankah aku kekasih yang kau rindui?” Subuh berangkat pulang lambat tetapi tetap. “Assalamualaikum”, seru Subuh. “Wa’alaikumsalam”, jawabku kembali. Dan mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan….

*p/s : Apalah agaknya keluh kesah dari Zohor. Asar, Maghrib dan Isyak ya..??
Jawapannya..tersirat dalam diri kita..sama-sama kita renungkan..wallahua’alam.

Buatmu Mujahidku..


Assalamu’alaikum wr. wb.
Salam hormat buatmu mujahidku…
Maha suci Tuhan yang telah mentakdirkan jodoh kita, dan bakal mempertemukan kita dalam redhaNya, InsyaAllah…Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Rasulullah SAW yang dalam urat nadi kita mengalir warisan sunnah dakwahnya…juga kalungan doa buat ahli bait Baginda SAW, juga para sahabatnya, serta rijal-rijal selepas mereka yang telah meneruskan sunnah menginfaqkan diri untuk agama demi menegakkan kalamNya.

Mujahidku,
Betapa kesabaran ini sering teruji dalam menanti hadirnya dirimu. Terasa ada benarnya mereka yang mengatakan seberat-berat ujian itu ujian hati dan perasaan… belenggu fitnah melingkari, dan ana sering risau diri ini kalah jua suatu hari nanti. Bergetar hati ini dengan pertarungan maknawi…antara azam memelihara diri demi melayakkan ana bertemankan rijal seistimewa anta, dan keinginan utk mengalah dan memilih rukhsoh dalam bermuamalah demi menjamah halawah ber‘alaqah sama seperti orang lain…ya mutsabbital qulub tsabbit qolbi ‘ala diinika wa ‘ala to’atik…

Pewaris harapan ummah,
Tatkala rindu mula menyesakkan kalbu, ana berusaha sedaya mungkin untuk tenggelam dalam kekhusyukan merintih meminta bantuanNya, namun rindu ini terus dan terus menggelegak hingga menuntut ekspresi…lantas jari jemari ini mula menari, dalam usaha mencari ketenangan hati. Sungguh mujahidku, diri ini teramat ingin disegerakan pertemuan kita!

Pembawa panji Islam,
Maafkan temanmu ini atas kelemahanku…”khuliqol-insanu dho’ifa”…InsyaAllah, ana akan berusaha memperkasakan mujahadah dari hari ke hari, malah dari saat ke saat, dan akan ana jadikan penantian ini sebagai fatrah tarbiyyah…persediaan untuk ana menghadapi hakikat suatu hari nanti anta bakal diminta olehNya utk memenuhi janji, bahawa hidup dan mati anta hanya untukNya dan kegemilangan agamaNya.

Tsamaratu fuadi,
Di mana pun anta sekarang, dengan seikhlasnya ana berdoa, moga anta terus dibantu dan diberi taufiq olehNya utk menyibukkan diri dengan urusan ummah kita, dan moga anta terus terpelihara dari fitnah zaman kita, dan ujian hati dan perasaan yg telah memperbudakkan sejumlah besar sahabat-sahabat seusia kita. Kuatlah mujahidku, demi janji kita untuk menyerahkan diri ini secara kamil kepadaNya! Yakinlah, janji Allah itu pasti…andai kita tidak sempat dipertemukanNya di dunia ini untuk mengusahakan sa’adah ummah bersama, pasti akan Dia pertemukan kita di dunia yang lebih abadi, setelah kita masing2 menemui keagungan syahadah di jalanNya.

Qa’id yg kutunggu,
Walaupun kita belum saling mengenali, tulus ana berharap Dia menggerakkan hati anta utk turut mendoakan ana…moga-moga di saat kita diijabkabulkan nanti, diri ini masih mampu mengukir senyuman puas, lantaran usaha ana untuk mempertahankan ‘iffah seorg mar’ah berhasil jua akhirnya. Doakan diri ini juga sepertimu, qawiyy dan meletakkan jihad sebagai cita-cita tertinggi…doakan diri ini juga sepertimu dan salafussoleh, yang mana Dia & RasulNya lebih dicintai dari diri mereka dan pasangan mereka…doakan diri ini juga sepertimu, tsabat dan indhibat berakar menghiasi hati…doakan diri ini juga sepertimu, hidup mengabdi dalam amal islami…doakan diri ini juga sepertimu, memenuhi tuntutan hadis “sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lainnya”.

Mujahidku,
Doakan diri ini juga sepertimu, mencintai semata2 kerana tempias cinta Ilahi!

Monday, July 6, 2009

Leraikanlah simpulan dengan cermat

Sesuatu masalah umpama simpulan tali yang kusut. Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, kita kena menghadapinya dengan bijak, elakkan daripada melarikan diri dari masalah. Jangan menarik simpulan tali terlalu kuat, kelak simpulan itu akan semakin ketat dan sukar untuk di leraikan. Jangan mengenggam rama-rama terlalu kemas, kelak rama-rama itu terkoyak sayapnya lalu binasa. Belajar untuk memaafkan dan melupakan. Saya tahu ianya sukar, tapi demi kehidupan kita yang lebih baik di masa hadapan, kita tiada pilihan! Time will heal, insyaAllah jika kita mengizinkannya.Luka yang paling dalam adalah luka kerana hirisan pertama.Sakit yang paling sakit adalah sakit yang di ciptakan orang yang paling kita cintai.Itulah kenyataan, lumrah alam. Tapi, mematahkan seluruh tangan kerana hirisan kecil di jari adalah suatu tindakan yang tidak bijak. Maksud saya, mensia-siakan seumur hidup kita kerana menangisi dan mengenang luka yang silam adalah tidak berbaloi..Luka di jari akan sembuh dengan sendirinya, cuma terserah kepada kita bagaimana untuk mengizinkannya sembuh. Kalau nak cepat baik, letak la ubat, dan sebaliknya..begitulah juga kehidupan ini..Perkahwinan adalah nikmat dan anugerah dari Tuhan. Dengan perkahwinan ini juga,yang haram boleh jadi halal. Perkahwinan juga perlu untuk memanjangkan lagi susur galur keturunan dan zuriat seseorang. Perkahwinan juga adalah sunnah Nabi dan di tuntut dalam agama. Jadi, mengapa mengharamkan yang halal? Wanita di ciptakan dari tulang rusuk lelaki yang letakknya dekat dengan hati supaya dia di kasihi dan hampir dengan lengan supaya dia di lindungi. Wanita bukan di cipta dari kaki untuk dipijak dan di hina dan wanita juga tidak di cipta dari kepala untuk di sanjung. Jika lelaki dan wanita menyedari hakikat ini, insyaAllah sesebuah institusi kekeluargaan yang terbina akan mampu bertahan lama dan membawa manfaat kepada semua ahlinya. Kecewa dengan cinta pertama? Jika di lontar batu ke dalam sekumpulan manusia, insyaAllah batu itu akan mengena salah seorang dari mereka yang pernah putus cinta. Dalam sepuluh orang manusia itu, pasti 7 orang darinya ada pengalaman putus cinta.Cinta monyet, cinta tiruan, cinta palsu dan macam-macam cinta. Kita belajar dari kesilapan dan pengalaman. Gagal sekali tak bererti selamanya gagal. Kadang-kadang Allah sengaja temukan kita dengan orang yang salah, supaya suatu hari nanti, bila kita bertemu dengan orang yang tepat, kita tahu menghargainya..Wallahua'alam. Kita juga selalu dengar, Allah sengaja turunkan hujan yang lebat tapi selepas hujan yang lebat itu, Allah anugerahkan kita dengan pelangi yang indah. Doakan yang baik-baik kerana itu lebih mulia, jangan sekali-sekali mendoakan atau berkata-kata yang buruk kerana al-quran juga tercatat:
"Janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan, bertakwa dan mengadakan ishlah di antara manusia. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." [Al-Baqarah: 224]
Photobucket

Doa Mohon Istiqamah Dalam Taat & Beribadat

Doa Rasulullah SAW di akhir solat, sebelum salam:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari azab neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah dajjal dan dari sebarang fitnah sewaktu hidup juga ketika menghadapi kematian”.



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari sebarang jenis dosa dan bebanan hutang.”


Doa memohon agar ditetapkan iman



يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agama-Mu”


Doa memohon agar terus beristiqamah



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari terpesong dari landasan yang benar setelah mendapat hidayah (Iman)”.


Doa Mohon Tetapkan Pendirian



اللَّهُمَّ ثَبِّتْنِيْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآَخِرَةِ

Maksudnya: Wahai Tuhanku, Teguhkan aku dengan perkataan yang teguh di dunia (La ilaha illallah) dan di akhirat (sewaktu disoal dalam kubur)


اللَّهُمَّ آمِيْنَ

Photobucket

Followers


وَاصبِر نَفسَكَ مَعَ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِىِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ وَلا تَعدُ عَيناكَ عَنهُم تُريدُ زينَةَ الحَيوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلا تُطِع مَن أَغفَلنا قَلبَهُ عَن ذِكرِنا وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ وَكانَ أَمرُهُ فُرُطًا ﴿٢٨

Maksudnya : “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”


Surah Al-Kahfi : 28



يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ٌ

Maksudnya : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (TA’ARUF). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Surah Al-Hujurat : 13


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٌ۬ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٍ۬‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

Surah al-Hasyr : 18

Photobucket
Photobucket