Sunday, December 19, 2010

Buatmu Mak...


20 Disember 1958 merupakan tarikh kelahiran mak ana.

Selamat Hari Lahir, mak..

Tiada hadiah istimewa yang dihantar dari jauh. InsyaAllah mendoakan mak dan ayah di setiap penghujung solat. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kedua insan yang ku kasihi ini, lebih daripada mereka mengasihi dan menyayangiku sewaktu kecilku. Ya Allah, ketika aku berada berdekatan dengan mereka, banyak sekali tingkah laku dan kata-kata yang menghiris hati mereka. Ampunilah hambaMu ini, Ya Allah.

Syukran jaziilan buat seorang ibu yang bernama Jumilah Binti Atin. Alhamdulillah anakmu ini dapat merasai nikmat cahaya Islam dan sinaran iman. Doakanlah selalu mak, moga-moga anakmu ini sentiasa dibimbing dengan keredhaan dari Allah SWT.

Mak, di akhir bicara di telefon, selalu anakmu ini mengatakan, “ mak, doakanlah semoga anakmu ini berjaya”. Tapi seringkali mak akan balas bahawa mak dan ayah sentiasa mendoakan selalu. Mak tidak ada apa-apa pangkat di dunia ini. Namun, mak mempunyai tempat yang paling istimewa dihati ini.

Syukur kepada Allah SWT kerana ana memiliki seorang mak dan ayah yang cukup menitikberatkan pesanan agama buat anak-anak. Semoga mak sentiasa mendoakan kami, anak-anak menjadi pembantu agama Allah, sekalipun melalui bidang pelajaran. Mak, doakan juga semoga ada cucu-cucu mak yang begelar ulama’ ,insyaAllah.

Mak selalu pesan, untuk mecari seorang suami, pilihlah dari kacamata agama. Semoga mak tetap beristiqomah mendidik kami, anak-anak dengan didikan Islam. Tegurilah kami. Kerana melalui mak dan ayah jugalah, anakmu ini mengenal kasih sayang Allah SWT dan RasulNya.

Mak, kirim salam juga buat ayah yang turut banyak memberikan didikan melalui tindakannya. Mampukah untuk diri ini, menjadi sebaik dan sesabar ayah. Maafkan anakmu ini ayah atas setiap tingkah laku dan kata-kata. Banyak sekali yang diri ini ingin pelajari dari seorang insan yang bernama ayah.

Hanya pada Allah, diri ini serahkan penjagaan mak dan ayah.Kerana Dialah yang mampu menjaga insan yang kusayangi, lebih baik dari diriku.

Mak..

Orang kata aku lahir dari perut mak….
(bukan orang kata…memang betul)
Bila dahaga, yang susukan aku….mak
Bila lapar, yang suapkan aku….mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku….mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut….mak
Bila bangun tidur, aku cari….mak
Bila nangis, orang pertama yang datang….mak
Bila nak bermanja, aku dekati….mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah….mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya….mak
Bila nakal, yang memarahi aku….mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma….mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah….mak
Bila takut, yang tenangkan aku….mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk….mak
Aku selalu teringatkan….mak
Bila sedih, aku mesti telefon….mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu….mak
Bila bengang, aku suka luah pada….mak
Bila takut, aku selalu panggil….”mmaaakkkk!”
Bila sakit, orang paling risau adalah….mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga….mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu….mak
Bila ada masalah, yang paling risau….mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni….mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku….mak
Kalau balik ke kampung,
Yang selalu bekalkan lauk pauk…..mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku….mak
Yang selalu berleter kat aku….mak
Yang selalu puji aku….mak
Yang selalu nasihat aku….mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk…..mak

Takutnya nanti bila aku ada pasangan hidup sendiri….
Bila seronok, aku cari….pasanganku
Bila sedih, aku cari….mak
Bila berjaya, aku ceritakan pada….pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada….mak
Bila bahagia, aku peluk erat….pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat….mak
Bila nak bercuti, aku bawa….pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah….mak
Bila sambut ulang tahun perkahwinan….aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu….aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”
Selalu….aku ingat pasanganku
Selalu….mak ingat kat aku
Bila-bila….aku akan telefon pasanganku
Entah bila….aku nak telefon mak
Selalu….aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila….aku nak belikan hadiah untuk mak

Mak..semoga tidak begitu..


Mak..doakan semoga anakmu ini menjadi isteri yang mithali kepada suaminya nanti dan anak yang solehah kepada mu..biarlah kasih ini tidak berbelah bahagi kepadamu..terima kasih mak atas segalanya. Qis sayang mak sangat-sangat.................

Wednesday, December 8, 2010

Epal dan Permata..


Duduk sejenak merenung seketika. Alhamdulillah kerana diuji dengan nikmat sihat. Walaupun diuji dengan nikmat sihat yang ditarik sedikit, ana masih mampu lagi berbicara. Semoga gugurnya dosa-dosa kecil lantaran nikmat yang ditarik seketika. Aminnn..


Bila kurang sihat macam ni ana akan teringat dengan buah epal. Epal, terlalu bermakna dalam hidup ana. Banyak cerita suka dan duka di sebaliknya. Namun apa yang ingin ana kongsikan di sini adalah mengenai wanita. Wanita dan epal.


Kenapa epal?? Selalunya wanita itu selalu dikaitkan dengan permata untuk menggambarkan nilainya yang begitu berharga.


Benarlah wanita itu ibarat permata. Kerana kecantikannya, dia dipandang oleh semua manusia. Kerana keindahannya, dia dipuja oleh sekalian insan. Tetapi kerana kehalusan peribadinya, dia dinilai oleh seseorang yang amat mengerti tentang hakikat sebenar seorang wanita. Keindahan peribadinya ibarat kehalusan seni sebutir permata yang hanya mampu dinilai oleh seorang pakar yang benar-benar mengerti tentang keunikan rekabentuk sebutir permata di antara beribu-ribu permata yang terhampar.


Jadi, buat diri dan saudari-saudari sekaumku, andai diri tercipta dengan penuh keindahan, bersyukurlah kerana itu adalah anugerahNya dan menjadi perhiasan kepada peribadi yang indah. Tiada gunanya rupa yang jelita tanpa pekerti yang mulia.

Andai merasa diri tak seindah permata di sekeliling, tiada apa yang perlu dirisaukan. Mengapa tak perlu gusar? Kerana itu semua ujian Tuhan untuk menguji keimanan kita kepadaNya serta menguji ketabahan kita pada ketentuan takdirNya. Sebenarnya, kehalusan peribadi diri menjadi idaman setiap insan yang hanya mencari permata yang hakiki.

Dia tidak memandang pada keindahan luaran, tetapi dia hanya meneliti keindahan dalaman, kesempurnaan dari sudut agamanya, yang boleh membimbingnya ke arah jalan yang diredhai Tuhan. Insan seperti ini wujud setiap masa dan di mana-mana saja, cuma kuantitinya sahaja yang agak sedikit berbanding lelaki yang biasa.


Jadi, janganlah sesekali kita merendahkan martabat yang Allah kurniakan ini dengan meletakkan diri ke lembah hina. Ibarat buah epal. Epal yang merah, lagi licin kulitnya umpama lilin. Epal yang tidak berkualiti memang mudah didapati kerana ia banyak berguguran. Berguguran di mana? Di atas tanah. Tapi, epal yang berkualiti ia berada di puncak. Ia susah untuk dipetik dan digapai. Kadang-kala tergamit satu perasaan. Perasaan risau mengapa diriku ini belum dipetik-petik? Lantas epal ini merendahkan martabatnya dengan menggugurkan dirinya menyembah ke tanah. Astaghfirullahalazim..sedangkan Allah telah menjadikannya dengan martabat yang begitu tinggi sehingga tiada siapa yang mampu memetiknya. Hanya pemuda-pemuda yang benar-benar hebat
yang mampu untuk memetiknya.


Allah sendiri berfirman yang mana Allah menegaskan, “Janganlah kamu merasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, sedangkan kamu orang yang tinggi darjatnya jika kamu beriman,” . [Surah Ali-‘Imran : 139] (ayat ini asalnya ditujukan buat muslimin yang ingin berperang di jalan Allah).

Biarpun ayat ini ditujukan umumnya buat mukminin kerana penggunaan kalimah yang bersifat muzakkar, tetapi ayat ini boleh juga ditujukan kepada wanita kerana di dalam Al-Quran ayat yang ditujukan buat lelaki sebenarnya ditujukan umum buat seluruh manusia lelaki dan perempuan. Jadi, bolehlah ditafsirkan bahawa ayat ini merupakan pujukan lembut daripada Allah buat insan yang beriman yang merasa lemah dan berduka.

Ya, mungkin pada pandangan orang lain diri tak sehebat mana kerana keindahan tersimpan rapi di dalam diri, namun ianya terserlah pada pandangan insan yang benar-benar memahami peribadi sebenar wanita bergelar muslimah sejati.

Ingatlah,wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik pula (Surah An-Nur :26). Semuanya sudah diatur rapi oleh Tuhan. Wanita yang beriman tidak akan sekali-kali dimiliki oleh lelaki yang buruk akhlaknya dan lelaki yang beriman pula tak akan ditemani oleh perempuan yang buruk tingkah lakunya. Ini kerana perkongsian hidup antara yang baik dengan yang buruk tak akan serasi sama sekali.

Buat para muslimin, carilah permaisuri hati yang sempurna agamanya kerana merekalah yang mampu membawa dirimu ke taman impian di sana nanti, iaitu Raudhatul Jannah di negeri abadi, insyaAllah. Andai kau mengira permaisurimu tak seindah yang kau impikan, tak mengapa.

Tak dinafikan, memang fitrah manusia menyukai keindahan rupa, tetapi adakalanya apa yang kita suka itu tak semestinya baik untuk kita dan mungkin apa yang kita tak suka itu amat baik untuk kita. Itu semua ketentuan Tuhan.

Tunggulah, kecantikan sebenarnya akan terserlah di akhirat nanti. Pada saat itu barulah kau merasa benar-benar bersyukur kerana mempunyai isteri sebaiknya. Kecantikan di dunia hanyalah kecantikan sementara tetapi di sanalah kediaman yang abadi. Itulah janji Tuhan. Sesungguhnya, Allah tak akan sama sekali memungkiri janjiNya.

Kesimpulannya di sini, keindahan seorang wanita terletak pada kesempurnaan agamanya. Keindahan fizikalnya hanyalah perhiasan luaran anugerah sementara daripada Tuhan yang mungkin boleh lenyap apabila tiba masanya. Itulah fitrah manusia, tiada apa yang kekal pada kita.


Kepada saudari-saudariku. Janganlah risau jika diri belum disunting. Lantas mengambil jalan yang tidak syarak bagi memenuhi keperluan fitrahmu. Allah telah letakkan kita di tempat yang begitu mulia. Jangan sesekali sia-siakan hadiah dari Allah ini. Dia telah menetapkan seorang adam yang terbaik buatmu hawa.


Banyakkan menjadi dari mencari.


Moga artikel ini menjadi penawar kegusaran hatimu. Buat diri.

“Dinikahi seorang wanita itu kerana kecantikannya,keturunannya, kekayaannya dan agamanya. Maka, pilihlah dari segi agamanya, nescaya beruntunglah kedua tanganmu”.

Wallahua'lam....

Monday, December 6, 2010

Thinking For a Change!!


Assalamua’laikum wbt..

Pada entry kali ni ana nak kongsikan beberapa kelebihan pada bulan Muharram dan hikmah membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah.


Hikmah membaca doa akhir tahun Hijrah adalah kita memperingati amalan-amalan pada tahun lalu sama ada yang amalan yang membawa kebaikan mahupun amalan yang membawa kepada dosa dan lalu meminta ampun atas kesalahan-kesalahan serta meminta perlindungan Allah swt. daripada kejahatan syaitan dan manusia. Manakala hikmah membaca doa awal tahun Hijrah pula adalah kita memperbaharui azam untuk melakukan kebaikan dan meminta kekuatan dan hidayah untuk melaksanakannya.


Doa Akhir Tahun



Maksudnya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Rahmat dan sejahtera ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

**Doa ini dibaca sementara menanti waktu Maghrib pada malam 29 Zulhijjah


Doa Awal Tahun

Maksudnya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Rahmat dan sejahtera ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang Qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

**Doa ini dibaca selepas Maghrib malam 1 Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata, “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana ALLAH telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan.”




KELEBIHAN PUASA BULAN MUHARAM


Daripada Abi Hurairah Radiallahu anhu ia berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda :

“Seafdhal – afdhal puasa selepas daripada bulan Ramadhan ialah puasa bulan Muharram”.


Daripada Ali bin Abi Talib Radiallahu anhu ia berkata :

“Seorang lelaki bertanya kepadaku: Bulan apakah yang engkau mahu perintahkan kepadaku supaya aku berpuasa selepas bulan Ramadhan?”. Ali Radiallahu anhu berkata : Aku tidak pernah dengar seseorang yang bertanya tentang hal ini kecuali seorang lelaki yang aku dengar ia bertanya kepada Rasulullah s.a.w. pada hal aku sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w. maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah s.a.w. : Ya Rasullulah bulan apakah yang engkau nak perintah kepadaku supaya aku berpuasa selepas bulan Ramadhan? Rasulullah s.a.w. menjawab : Jika engkau mahu berpuasa selepas bulan Ramadhan maka puasalah pada bulan Maharram kerana sesungguhnya bulan itu adalah bulan Allah.


KELEBIHAN PUASA PADA HARI ASYURA’


Daripada Ibni Abbas Radiallahu anhuma berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah berpuasa pada hari Asyura’ dan memerintahkan manusia supaya berpuasa pada hari itu. Makna hari Asyura’ ialah hari yang kesepuluh daripada Muharram dan berpuasa pada hari itu adalah sunnat yang dituntuti kerana Allah menghapuskan dosa orang yang berpuasa setahun yang lalu kerana sesungguhnya hari itu adalah hari Muasawi. Dan berpuasa pada hari Arafah, Allah menghapuskan dosa orang yang berpuasa 2 tahun yang lalu kerana sesungguhnya hari itu adalah hari Muhammad. Pada asal kalimat, berpuasa pada sepuluh hari bulan Muharram adalah perintah wajib. Tetapi, kerana telah di nasakhkan menjadi sunnat, maka perintah puasa pada hari Asyura’ itu amatlah besar pahalanya.


Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Ibnu Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sehari pada hari Asyura kerana mencari kelebihan iaitu fadhilat yang tidak ada pada hari-hari yang lain selain dari hari ini.

Daripada A’isyah Radiallahu anha ia berkata : Adalah hari Asyura’ itu satu hari yang telah berpuasa oleh orang Qurais pada zaman jahiliyyah dan adalah Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah ia pun berpuasa pada hari itu dan ia memerintahkan manusia supaya berpuasa. Apabila puasa bulan Ramadhan telah di fardukan, maka puasa pada hari Asyura’ itu tidak menjadi wajib lagi dan mereka pun meninggalkan amalan berpuasa pada hari Asyura’. Maka barangsiapa menghendaki, hendaklah berpuasa dan barangsiapa tidak menghendaki bolehlah meninggalkannya.


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Orang-orang jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah s.a.w dan orang-orang Islam, sebelum diwajibkan berpuasa bulan Ramadan, juga berpuasa pada hari tersebut. Setelah puasa Ramadan diwajibkan, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Asyura itu adalah hari-hari Allah. Sesiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan berbuka.



10 MUHARRAM (HARI ASYURA’) MENINGGALKAN BANYAK PERISTIWA SEJARAH DIANTARANYA:


1) Arasy, kurshi dan Syurga dicipta.
2) Langit, matahari, bulan, bintang dan bumi dicipta.
3) Nabi Adam dicipta dari tanah.
4) Nabi Adam dimasukkan ke dalam Syurga.
5) Taubat Nabi Adam diterima ALLAH.
6) Bahtera Nabi Nuh mendarat di bukit Judi.
7) Nabi Ibrahim keluar daripada api.
8)Penglihatan Nabi Yaakub pulih semula.
9) Nabi Yusuf keluar dari perigi.
10) Nabi Ayub sembuh daripada menderita penyakit kulit.
11) Nabi Musa selamat menyeberangi lautan sementara Firaun dan pengikut-pengukitnya tenggelam ke dalam lautan Merah.
12) Nabi Sulaiman dikurniakan semula kekuasaan (kerajaan).
13) Nabi Yunus dikeluarkan dari perut ikan Nun.
14) Nabi Isa dilahirkan.
15) Nabi Isa diangkat kelangit.
16) Hujan turun buat kali pertama kalinya membasahi bumi


Setiap manusia diberi peluang dan masa untuk berubah..
Mari bersama hayati sirah pengorbanan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah..
renungkanlah..

HIJRAH..Thinking For a CHANGE!!

Salam Maal Hijrah 1432H (^_^)


Friday, December 3, 2010

Sehalus itu...


Suasana petang itu sugguh tenang sekali. Angin sepoi-sepoi bahasa mengusap mesra hati-hati yang sedang menikmati keindahan ciptaanNya ketika itu. Dari jauh kelihatan sekelompok gadis sedang duduk di bawah sebatang pohon beringin yang rendang. Kawasan sekolah itu memang dihiasi dengan taman-taman yang indah. Zahrah sedang berhalaqoh dengan adik-adik usrahnya. Petang hujung minggu dihabiskan bersama mad’unya. Masing-masing duduk dalam satu halaqoh sambil menghayati kalimah-kalimah dakwah daripada naqibah mereka. Pokok-pokok bunga rendang melatari mereka. Manakala rumput hijau segar menjadi alas tempat duduk. Sesekali gugur daun-daun kering ditiup angin. Subhanallah, indahnya!

Di tangan kiri Zahrah ada pen, di tangan kanannya ada buku. Zahra berkata,

"Akak ada permainan...Caranya begini, di tangan kiri akak ada pen, di tangan kanan ada buku. Jika akak angkat pen ini, maka berserulah "pen!", jika akak angkat buku ini, maka berserulah "buku!"

Adik-adik usrahnya pun mengerti dan mengikuti. Zahrah berganti-ganti mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian Zahrah kembali berkata,

"Baik, sekarang perhatikan. Jika akak angkat pen ni, maka berserulah "buku!", jika akak angkat buku, maka katakanlah "pen!".

Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja adik-adik usrahnya itu tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti. Zahrah tersenyum dan memandang lembut kepada adik-adik usrahnya itu.

"Adik-adikku, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang batil itu batil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh kita memaksa kita menggunakan berbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi batil, dan sebaliknya. Pada mulanya mungkin agak sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kita terbiasa dengan hal itu.

Dan kita mula dapat mengikutinya. Musuh-musuh kita tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan etika. Keluar berdua-duaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, seks sebelum nikah menjadi suatu hiburan dan trend,materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain-lain. Semuanya sudah terbalik.

Dan tanpa disedari, kita sedikit demi sedikit menerimanya. Faham adik-adikku..?"
lembut Zahrah bertanya kepada adik-adik usrahnya.

"InsyaAllah faham kak..." serentak ahli usrah itu menjawab. Terukir senyuman di bibir masing-masing. Terasa mekar seketika jambangan ukhuwah.

"Baiklah, sekarang kita buat permainan kedua..mau main lagi ka ni??" tanya Zahrah sambil mengeyit mata dan tersenyum pada adik-adik di hadapannya itu. Manja dan mesra. Begitulah Zahrah. Dia mahu adik-adik usrahnya itu sentiasa dekat dengannya. Hati mereka mesti ditaut dengan ukhuwah yang indah kerana Allah.

“Mestilah kak…” sekali lagi serentak adik-adik dalam halaqoh itu menjawab.

"Okay. Sekarang akak ada Qur'an. Akak akan letakkannya di tengah tikar. Sekarang kamu berdiri di luar tikar. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada di tengah tanpa memijak tikar?" adik-adik usrahnya mula berfikir . Ada yang mencuba secara alternatif dengan tongkat, dan lain-lain.

Akhirnya Zahrah memberikan jalan keluar, digulungnya tikar, dan dia mengambil Qur'an. Dia memenuhi syarat, tidak memijak tikar.

"Adik-adik akak yang kak sayang kerana Allah, begitulah kita umat Islam dan musuh-musuh kita...Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak kita dengan terang-terang...kerana tentu kita akan menolaknya mentah-mentah. Orang biasa pun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung kita perlahan-lahan dari pinggir, sehingga kita tidak sedar.

Dia senyap seketika sambil memandang setiap mata mad’u dalam halaqoh itu. Dia tersenyum lagi sambil membetulkan lipatan tudung labuh pada wajahnya. Wajah-wajah lembut di hadapannya itu terus khusyuk menanti apa yang ingin disampaikan seterusnya. Kemudian dia menyambung lagi.

“Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika kita ingin kuat, maka bangunlah dengan aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan...Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan kita. Mulai dari perangai kita, cara hidup, pakaian dan lain-lain. Sehingga meskipun kita muslim, tapi kita telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan. Nauzubillah…

Ini semua adalah fenomena Ghazwatul Fikri (perang pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh-musuh kita..”

“Kenapa mereka tak berani terang-terang memijak-mijak kak?" tanya Lisa, adik usrahnya yang menduduki Tingkatan 3 tahun itu.

"Sesungguhnya dahulu mereka telah terang-terang menyerang, contohnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi..apa lagi yang tercengang-cengang tu?? Ayuh kita kejutkan umat Islam lain yang masih tertidur!!!”

…………………………………………………………………………………………………

Terimbau kembali zaman sekolah yang terasa seperti baru ana tinggalkan. Kenangan di sekolah sangat indah. Dan paling tidak dilupakan, kenangan asrama. Kerinduan pada sahabat-sahabat seperjuangan. Adik-adik usrah. Rakan Iman. Terbayang wajah-wajah lembut itu. Rindunyaaaa..

Lupakan seketika memori itu. Apa yang ingin ana sampaikan disini adalah mengenai kita sekarang ini. Ternyata sudah terang lagi bersuluh musuh-musuh kita sedang berusaha menjatuhkan umat Islam ini bagi mereka yang berfikir. Berbagai-bagai cara yang digunakan.

Strategi mereka adalah Ghazwatul Fikri (perang pemikiran). Dan sasaran utama adalah kita, Generasi Muda! Dimanakah pengganti Umar al-Khattab hari ini? Siapakah pewaris Salahuddin al-Ayyubi hari ni? Dimanakah pemuda-pemuda seperti Sultan Muhammad Al-Fateh zaman ini? Mereka inilah pemuda-pemuda yang ingin kita contohi. Atau kita hanya ingin melihat?? Bergoyang kaki dan menutup mata? Jadi, ayuh bangkitlah wahai Generasi Harapan! Ubahlah paradigma! Jangan sampai terleka!

Thursday, December 2, 2010

Indahnya malam..


Termenung di pintu seketika. Cahaya lampu menyimbah kegelapan malam. Pokok-pokok melatari bangunan asrama di hadapan. Hujan renyai-renyai. Kelihatan seperti salji yang sedang turun di bawah cahaya lampu. Sesekali hembusan angin malam membelai lembut pipi. Angin sepoi-sepoi bahasa itu sedang memujuk dan mengusap mesra hati yang gundah dan terluka. Sedikit ketenangan bertamu di jiwa.

Diri asyik berfikir. Subhanallah, indahnya malam! Tentu ada yang menciptakan. Tentu ada yang mengatur peredarannya. Bintang dan bulan juga tentu tidak terjadi sendiri. Semua benda ada pencipta. Tak syak lagi, Allahlah yang mencipta semuanya.

Teringat firman Allah dalam ‘surat cintaNya’ yang bermaksud, :

Dan milik Allahlah kerajaan langit dan bumi, Allah Maha Kuasa di atas segala sesuatu. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam da siang terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi orang yang berakal. Iaitu orang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi seraya berkata, ‘Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau. Lindungilah kami daripada azab mereka.”


[Surah Ali ‘Imran : 189-191]


Menikmati keindahan malam sambil merenung kebesaran Ilahi. Ketenangan mula bertamu di hati. Benarlah firman Allah yang bermaksud, :


“..Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”


[Surah Ar-Ra’d : 28]


Moga ketenangan ini terus bermukim di kalbu. Terima kasih Ya Allah. Alhamdulillah….


"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku."

[Surah Al Fajr : 27-30]

Kepada hati-hati yang pernah ana sakiti. Maafkan ana.
Photobucket

Doa Mohon Istiqamah Dalam Taat & Beribadat

Doa Rasulullah SAW di akhir solat, sebelum salam:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari azab neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah dajjal dan dari sebarang fitnah sewaktu hidup juga ketika menghadapi kematian”.



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari sebarang jenis dosa dan bebanan hutang.”


Doa memohon agar ditetapkan iman



يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agama-Mu”


Doa memohon agar terus beristiqamah



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari terpesong dari landasan yang benar setelah mendapat hidayah (Iman)”.


Doa Mohon Tetapkan Pendirian



اللَّهُمَّ ثَبِّتْنِيْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآَخِرَةِ

Maksudnya: Wahai Tuhanku, Teguhkan aku dengan perkataan yang teguh di dunia (La ilaha illallah) dan di akhirat (sewaktu disoal dalam kubur)


اللَّهُمَّ آمِيْنَ

Photobucket

Followers


وَاصبِر نَفسَكَ مَعَ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِىِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ وَلا تَعدُ عَيناكَ عَنهُم تُريدُ زينَةَ الحَيوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلا تُطِع مَن أَغفَلنا قَلبَهُ عَن ذِكرِنا وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ وَكانَ أَمرُهُ فُرُطًا ﴿٢٨

Maksudnya : “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”


Surah Al-Kahfi : 28



يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ٌ

Maksudnya : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (TA’ARUF). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Surah Al-Hujurat : 13


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٌ۬ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٍ۬‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

Surah al-Hasyr : 18

Photobucket
Photobucket