
Termenung di pintu seketika. Cahaya lampu menyimbah kegelapan malam. Pokok-pokok melatari bangunan asrama di hadapan. Hujan renyai-renyai. Kelihatan seperti salji yang sedang turun di bawah cahaya lampu. Sesekali hembusan angin malam membelai lembut pipi. Angin sepoi-sepoi bahasa itu sedang memujuk dan mengusap mesra hati yang gundah dan terluka. Sedikit ketenangan bertamu di jiwa.
Diri asyik berfikir. Subhanallah, indahnya malam! Tentu ada yang menciptakan. Tentu ada yang mengatur peredarannya. Bintang dan bulan juga tentu tidak terjadi sendiri. Semua benda ada pencipta. Tak syak lagi, Allahlah yang mencipta semuanya.
Teringat firman Allah dalam ‘surat cintaNya’ yang bermaksud, :
“ Dan milik Allahlah kerajaan langit dan bumi, Allah Maha Kuasa di atas segala sesuatu. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam da siang terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi orang yang berakal. Iaitu orang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi seraya berkata, ‘Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau. Lindungilah kami daripada azab mereka.”
[Surah Ali ‘Imran : 189-191]
Menikmati keindahan malam sambil merenung kebesaran Ilahi. Ketenangan mula bertamu di hati. Benarlah firman Allah yang bermaksud, :
“..Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
[Surah Ar-Ra’d : 28]
Moga ketenangan ini terus bermukim di kalbu. Terima kasih Ya Allah. Alhamdulillah….
"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku."
[Surah Al Fajr : 27-30]
No comments:
Post a Comment