Saturday, February 27, 2010

Ilmu itu sentiasa milik Allah...

Kekuatan ilmu tidak perlu dipertikaikan lagi. Dengan ilmu apa pun mungkin terjadi. Sedang Allah SWT juga membayangkan bahawa ilmu adalah harta teragung dengan memerintahkan hambaNya melalui wahyu pertamaNya supaya menuntut ilmu.

“…Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” [Surah al-A’laq: 1]

Cuma apa yang merunsingkan apabila kita, umat manusia ghairah dalam menimba sebanyak ilmu duniawi yang tiada salahnya, akan tetapi menjadi cacat apabila ilmu akhirat yang sepatutnya diganding sama terpinggir tanpa dipedulikan.

Mudah untuk melihat tumbuhnya pusat-pusat pendidikan tambahan atau tuition classes untuk anak-anak kecil kita menambah dan menajamkan ilmu, kononnya sebagai persediaan masa hadapan yang terang dan jelas sangat mencabar. Akan tetapi di manakah pusat pengajian tambahan untuk anak-anak kita mengaji dan memahami Al-Quran? Di manakah tempatnya anak-anak kita dihantar untuk mengetahui apa itu fardhu ain? Wujudkah kelas-kelas untuk anak-anak muda menyelami apa itu hukum fardhu kifayah, sedangkan semua ini bakal tergalas di bahu mereka atau mungkin bahu kita suatu hari nanti. Hendak dikatakan segala ilmu itu diajar dan dipraktikkan di rumah, jauh panggang dari api. Mungkin ada, tapi ibarat lampu suluh di tengah rimba. Mana mungkin mampu menakluki belantara yang gelap gelita.

Kita yang sedar pasti resah dan runsing bukan? Maka Allah SWT tidak pernah lupa menyiapkan bekal buat hambaNya yang beringat. Di samping usaha, kita panjatkan doa buat Dia moga-moga ilmuNya yang seluas lautan itu dapat kita gali, walaupun sebagai umat akhir zaman yang terkenal dengan alpa dan lupa ini…

“…Apabila telah ditunaikan solat, maka berteberanlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh keuntungan.” [Surah al-Jumu’ah : 10]

Dengan ilmu, manusia bisa menakluki dunia..

Dengan ilmu, manusia bisa mentadbir Negara..

Dengan ilmu, manusia bisa petah berbicara..

Dengan ilmu, manusia bisa jadi kaya..

Dengan ilmu, manusia bisa terangkat jadi mulia..

Tetapi..

Dengan ilmu tapi tanpa iman, manusia bisa merosak dunia..

Dengan ilmu tanpa hidayah, manusia bisa khilaf pentadbirannya..

Dengan ilmu tapi tanpa rahmat, manusia bisa berbicara penuh sandiwara..

Dengan ilmu tapi tanpa amal, manusia bisa jadi papa..

Dengan ilmu tapi tanpa agama, manusia bila-bila bisa jadi hina……..


.::Diari Sufi::.



Friday, February 26, 2010

Menyemarakkan Maulidur Rasul

Alhamdulillah..puji dan syukur ke atas Allah SWT, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah SAW. Pada hari ini kita menyambut satu tarikh yang amat bermakna dalam sejarah manusia dan kemanusiaan. Tanggal 12 Rabiul Awal mengisyaratkan kelahiran dan kemunculan seorang pembawa risalah yang akan menyelamatkan insan daripada ‘zulumat’ menuju ‘an-nur’, daripada kegelapan menuju destinasi keredhaan Allah SWT. Itulah tanggal bersejarah keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Nabi akhir zaman yang diutus dengan akhlak yang mulia sebagai contoh teladan dan mencapai kemuliaan hidup di dunia dan akhirat yang lahir dengan risalah Islamiah yang menjadi rahmat serta kesejahteraan kepada seluruh alam. Firman Allah SWT, dalam Surah al-Anbiya : 107, “Dan tidaklah engkau Ku utus (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat bagi seluruh alam.” Bagaimanakah kita menyambut dan meraikan kehadiran tarikh bersejarah keputeraan Junjungan SAW? Tidak wajar jika kita hadir dan berlalu begitu sahaja kerana meraikannya sesungguhnya diharap menjadi tanda kecintaan kepada Baginda. Oleh itu, ada beberapa perkara yang perlu bersama-sama kita renungkan dan laksanakan dalam menyambut Maulidur Rasul SAW :

Detik yang bersejarah ini sewajarnya menjadi titik tolak untuk kita terus bermuhasabah sajauh manakah kecintaan kepada Rasulullah SAW yang cinta terhadap umatnya sesungguhnya tiada tandingan. Oleh itu Sunnah Bagindalah yang menjadi penyelamat kita daripada tergelincir di jurang kesesatan. Sebagaimana penegasan Baginda yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitabullah dan Sunnah RasulNya.” Antara tanda kecintaan kita terhadap Junjungan SAW ialah dengan mengamalkan ajaran Rasulullah dari sudut akidah, syariah mahupun akhlak Baginda yang mencerminkan al-Quran.

Maulidur Rasul juga hendaknya menjadi wadah untuk kita memperbanyak selawat ke atas Baginda serta menghayati fadhilah serta keutamaan selawat.

Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai Idola dan menjadikan Maulidur Rasul ini sebagai wadah untuk kita mentarbiyyahkan diri kita dengan meningkatkan pengetahuan mengenai perjuangan Rasulullah SAW sama ada melaui pembacaan, internet dan sebagainya. Sangat malang apabila kita lebih mengenali para artis dan idola kita yang lain berbanding mengetahui perjuangan Nabi, para sahabat dan tabiin serta tokoh-tokoh ulamak yang menjadi pewaris para nabi..renungkan..wallahua'lam.

Wednesday, February 24, 2010

Ilmu, suatu perjalanan yang panjang….

Setiap hari Allah SWT mencoretkan berlainan takdirnya. Kita hamba yang lemah lagi daif, tidak harus leka dalam menjalankan amanah untuk hidup. Peranan doa sekiranya diaplikasikan seiring dan sama hebatnya dengan zat ilmu, natijahnya pasti sesuatu yang luar biasa.

Masyarakat Islam secara umumnya memandang doa terlalu rendah nilainya, sedang ilmu diangkat tinggi pula oleh sesetengah pihak. Khilaf ini menjadikan kita bangsa yang berilmu, akan tetapi tidak memanfaatkan. Kita tidak berupaya menyalurkan ilmu itu ke tempat yang sepatutnya. Bukan tangan tidak sampai, bukan juga kaki tidak jejak namun hati yang menjadi buta lantaran keberkatan yang menyepi dan membiarkan manusia sendiri tergapai-gapai dalam cerah.

“..Katakanlah, Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah az-Zumar : 53]

Ingatlah, setinggi mana pun menara yang kita daki, seluas mana pun kota kita terokai, Allah SWT tetap ada memerhatikan tingkah dan laku kita. Jangan lupa, semua percaturan dan perjalanan adalah dengan kehendak dan izin dariNya. Tanpa Dia, siapalah kita. Berdoalah seperti setianya nabi-nabi kita meminta pertolongan dan redha Allah SWT dulu.

“...Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.” [Surah al-Hasyr : 19]

.::Diari Sufi::.

Thursday, February 18, 2010

Epilog Sebuah Drama...

Manusia adalah khalifah di atas muka bumi. Itu satu gelaran yang berat untuk dipikul oleh umat sejagat simbol pertanggungjawabab. Tidak keterlaluan jika dikatakan sejak akhir-akhir ini, bayangan khalifah itu kelihatan samar-samar dan seakan-akan kian padam. Tiada lagi jati diri dalam individu Islam khasnya di Negara kita.

Semakin kuat irama dakwah dialunkan , semakin rancak jugalah langkah mungkar yang ditarikan. Hingga ada sesetengah kita yang begitu lantang menyuarakan hak kebebasan untuk memilih cara hidup masing-masing dalam pasca moden ini tanpa mempedulikan sensitiviti para ulamak yang tidak pernah tumbang memperjuangkan agama Allah SWT, biarpun mereka disisih dan dipinggir. Begitu juga dengan golongan yang memikul amanah serta tanggungjawab dengan setia dan patuh, tidak kira siapa mereka sama ada seorang ayah, ibu, anak, guru, menteri, jiran mahupun majikan. Mereka ini tahu yang Allah SWT bersama orang-orang yang berjuang.

“…Wahai orang-orang yang beriman, sabarlah kamu dalam menegakkan agama Allah dan sabarlah kamu dalam perjuangan menghadapi musuh (hawa nafsu) dan tetap teguhlah kamu (dalam barisan perjuangan) dan bertakwalah kamu kepada Allah moga-moga kamu mendapat kemenangan.” [Surah Ali-Imran : 200]

Kenapa berlaku kepincangan dalam institusi kekeluargaan? Di mana silapnya kita sebagai bapa atau di mana pincangnya kita sebagai ibu? Atau mungkinkah kita gagal menjalankan jentera iman selaku anak yang soleh dan bertanggungjawab? Agaknya kita lupa pada Dia. Dia yang berkuasa menentukan jatuh bangun hambaNYa. Dia yang memiliki semesta alam dan segala yang berputar atau bergerak adalah atas kekuasaanNya.

Bukan kecil ruang yang Allah SWT berikan kepada hambaNya untuk meminta bantuan dariNya, walaupun janji yang selalu diperbaharui acap kali juga dimungkiri. Bukan juga sedikit peluang yang Allah SWT sediakan untuk hambaNYa yang mengerti untuk kembali menagih kasihNya, walaupun Dia telah kita tinggalkan berulang kali. Cuma kita buta dan mungkin akal terlalu dangkal untuk menyelam jauh ke dasar hati yang gersang, apatah lagi bagi kita yang berdarah muda. Renungkan……….

.::Diari Sufi::.

Photobucket

Doa Mohon Istiqamah Dalam Taat & Beribadat

Doa Rasulullah SAW di akhir solat, sebelum salam:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari azab neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah dajjal dan dari sebarang fitnah sewaktu hidup juga ketika menghadapi kematian”.



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari sebarang jenis dosa dan bebanan hutang.”


Doa memohon agar ditetapkan iman



يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agama-Mu”


Doa memohon agar terus beristiqamah



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari terpesong dari landasan yang benar setelah mendapat hidayah (Iman)”.


Doa Mohon Tetapkan Pendirian



اللَّهُمَّ ثَبِّتْنِيْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآَخِرَةِ

Maksudnya: Wahai Tuhanku, Teguhkan aku dengan perkataan yang teguh di dunia (La ilaha illallah) dan di akhirat (sewaktu disoal dalam kubur)


اللَّهُمَّ آمِيْنَ

Photobucket

Followers


وَاصبِر نَفسَكَ مَعَ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِىِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ وَلا تَعدُ عَيناكَ عَنهُم تُريدُ زينَةَ الحَيوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلا تُطِع مَن أَغفَلنا قَلبَهُ عَن ذِكرِنا وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ وَكانَ أَمرُهُ فُرُطًا ﴿٢٨

Maksudnya : “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”


Surah Al-Kahfi : 28



يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ٌ

Maksudnya : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (TA’ARUF). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Surah Al-Hujurat : 13


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٌ۬ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٍ۬‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

Surah al-Hasyr : 18

Photobucket
Photobucket