Tuesday, November 30, 2010

Bila Iblis Berbisik...


Assalamua’laikum w.b.t...

Buat sahabat-sahabat, saudara-saudaraku dan terutama buat kaum muslimat yang dikasihi kerana Allah sekalian..ingatlah..

Iblis laknatullah membisikkan kepada para wanita bahawa apa jua pakaian termasuk hijab tidak ada kaitannya dengan agama, sebaliknya ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus.

Bagaimanakah caranya?

1. Membuka Bahagian Tangan

Kebiasaannya telapak tangan sudah terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan fesyen, iaitu membuka bahagia hasta (siku hingga telapak tangan).

"Ah!Tidak apa-apa, kan masih pakai tudung dan pakai baju panjang."Begitu bisikan syaitan.

Akhirnya si wanita menampakkan tangannya dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa.

Maka syaitan berbisik, "Hah,tak apa-apa kan?"

2. Membuka Leher dan Dada

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi.

"Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan fesyen yang lebih maju lagi, iaitu terbuka bahagian atas dada kamu, tetapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sedikit untuk mendapatkan hawa agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli kerana sebahagian sahaja yang terbuka."

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari fesyen setengah lingkaran hingga fesyen berbentuk "V".

3. Berpakaian tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, "Pakaianmu hanya begitu-begitu saja, cubalah fesyen yang lebih bagus! Banyak kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat agak ketat biar lebih indah dan cantik dipandang."

Maka tergodalah si wanita. "Mungkin tidak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya sahaja yang berbeza, agar nampak lebih feminin," begitu syaitan menokok-nambah.

Maka, jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai kasiyat 'ariyat (berpakaian tapi telanjang).

4. Agak Terbuka Sedikit

Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi.

"Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, kerana sempit, kan lebih baik dibelah hingga lutut atau mendekati peha? Dengan itu kamu lebih selesa."

Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahaian bawah hingga lutut atau mendekati peha ternyata lebih selesa dan mudah untuk duduk atau menaiki kenderaan.

5. Tudung Semakin Kecil

Kini syaitan melangkah dengan tipu daya lain yang lebih "power".

Tujuannya adalah agar para wanita menampakkan bahagian auratnya. "Oh, ada yang terlupa! Kalau kamu pakai baju sedemikian, maka tudung yang besar tidak sepadan lagi. Sekarang kamu cari tudung yang lebih kecil agar serasi dan sepadan. Orang tetap akan menamakannya tudung."

6. Terdedah

Si wanita ternyata selesa dengan fesyen baru yang dipakainya seharian. Syaitan datang memberi idea lagi. "Rambutmu sangat cantik. Bukankah lebih selesa jika tudungmu dilepaskan. Kamu bebas mencuba fesyen rambut yang pelbagai. Malah, kamu boleh mewarnakan mengikut warna yang kamu suka supaya kelihatan lebih menawan."

Maka, sekali lagi syaitan berjaya mempengaruhi si wanita supaya mendedahkan rambutnya.

7. Membuka Seluruh

Syaitan kembali berbisik, "Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen yang lebih menarik. Bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya kira-kira 10 sentimeter sahaja. Nanti kalau kamu sudah biasa, baru cari fesyen yang di atas paras lutut"

Benar-benar bisikan syaitan telah menjadi penasihat peribadinya.

Maka terbiasalah dia memakai pakaian terdedah.

Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bersalahan dengan agama?

Namun bisikan syaitan menyahut, "Ah, jelas tidak bersalahan. Kan sekarang zaman sudah semakin moden. Kamu hanya mengikut arus fesyen masa kini."

"Tetapi, apakah ini tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki?" hati si wanita curiga.

"Fitnah? Ah, kalau kaum lelaki melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada fitnah lagi, kerana sama-sama suka?" syaitan menghasut.

Begitulah sesuatu yang seakan-akan mustahil untuk dilakukan.

Namun syaitan tidak pernah berhenti membisikkan hasutan-hasutan jahat sehingga ke saat kematian seorang anak Adam itu.

Hingga pada suatu ketika nanti akan muncul idea untuk mandi di kolam renang atau di pantai secara terbuka, di mana hanya dua bahagian sahaja yang ditutupi iaitu kemaluan dan buah dada!!!

Ingatlah, syaitan laknatullah hanya pandai menjanjikan kita dengan janji-janji palsu yang halus dan memikat, janji untuk keseronokan dunia, tetapi sebenarnya janji itu palsu dan racun yang mematikan!

NAUZUBILLAH....


Monday, November 29, 2010

Kekasihku..kau sabar lagi....


Kekasihku….

Maafkan diri ini…

Jarang sekali aku menyelam ke dasar bersamamu kala ini..

Mendalami kepayahan hidup yang kau rasakan selama ini…

Sesekali dapat berkongsi bersama tika cuti yang kulalui sesingkat cuma…

Tapi terasa diri ini terlalu dhaif…

Dhaif dengan segala pengetahuan tentang kepayahan jua kesulitan hidupmu…

Selama ini..seringkali kita berkongsi suka…

Kau hadiahkan aku senyumanmu..

Sedang aku tahu batapa peritnya jerihmu..

Namun jarang sekali kita berkongsi dukamu itu..

Kau hijab semuanya di sebalik belaian kasihmu padaku..


Petang itu aku mendapat panggilan telefon dari kekasihmu yang tercinta..

Yang setia disampingmu kala susah mahu pun senangmu..

Isi khabar saat itu sangat mencemaskanku..

Seperti terhenti seketika jantung ini berdegup..

Kau hilang kesedaran dan ingatan dalam jangka masa sejam..

Apakah lagi yang kau rahsiakan daripadaku??!

Apa yang bersarang di fikiranmu sekian lama??

Mengapa sampai macam ini jadinya??

Apa lagi yang kau pendamkan??
Mengapa kau diam??

Mengapa kau simpan seorang diri??

Siapa aku??

Siapa aku padamu……..????

Di hujung talian mutiara jernihku mengalir laju..

Alangkah baiknya jika aku ada disampingmu kala itu..

Tapi aku tahu..kekasihmu yang tercinta itu tidak akan pernah tinggalkanmu..

Aku yakin padanya..

Lagi pula aku terlalu yakin pada cinta Agung kita..

Jauh di dalam benakku aku berharap dan berdoa padaNya semoga Dia melindungi dirimu..


Akhirnya rahsia itu aku ketahui..

Rupanya kau hilang pekerjaan lagi buat kali kedua..

Tempat itu gulung tikar..

Tempat yang menjadi sumber untuk aku menyuap sesuap nasi hasil dari setiap titisan keringatmu..

Kenderaan 10 tayar yang menjadi teman kerjamu selama ini akhirnya mendapat teman kerja baru..

Pemiliknya menjualkannya pada orang lain..

Sedangkan temanmu itulah menjadi sumber pendapatanmu..

Temanmu itu juga pernah manghantar dan menjemputku di sekolah suatu masa dahulu..

Itulah kenderaan kita kemana jua..

Membeli belah..

Balik kampung..

Mahu pun bersiar-siar..

Dia teman sejati..

Namun..

Kau sabar lagi…

Tak terbayang olehku perasaanmu kala itu..

Namun kau masih mendengarkan aku tawamu dalam talian..

Kau masih berlakon..

Kau memang pelakon yang hebat kekasihku…


Masih segar di ingatanku..

Tika kau hilang pekerjaan pertama kalinya..

Waktu itu usiaku baru belasan tahun..

Kau mendapat kerja sementara saat itu..

Sebagai buruh binaan..

Jarang sekali aku dapat bersua denganmu kala itu..

Kau keluar memulakan hari sebelum terbitnya fajar..

Kau pulang di kala malam semakin larut..

Di siang hari teriknya mentari menggigit kulitmu..

Bahangnya terasa di setiap hela nafasmu..

Sang suria menjadi teman setiamu..

Batu-batu, pasir dan simen menjadi mainanmu…

Aku dapat lihat pada kulitmu yang semakin kasar dan gelap saban hari..

Urat-urat tanganmu semakin galak memperlihatkan diri muncul di permukaan kulit..

Kadang beberapa kali aku melihat kau memegang perutmu menahan kesakitan..

Penipuanmu terbongkar lagi...

Rupanya kau seringkali tidak menjamah makanan..

Betapa deritanya dirimu..

Namun…

Kau sabar lagi…

Tapi aku..

Hanya mampu membekalkanmu dengan doaku tiap waktu..


Kekasihku..

Alunan takbir itu berkumandang..

Teringat aku pada zaman kanak-kanakku..

Kau akan mengejutkan kami tiap kali di pagi raya..

Sudah menjadi kebiasaan kau bersama arwah atuk memandikan kami..

Mandi sunat Aidilfitri waktu itu..

Dan menjadi kebiasaan kami juga akan memakai baju baru dengan tidak sabar-sabar..

Tapi yang membuat hatiku pilu..

Sudah menjadi kebiasaanmu pula menyarungkan pakaian yang sudah lebih kurang 10 tahun tidak berganti..

Seringkali aku merengek manja padamu..

Dan bertanya mengapa setiap kali menjelang hari kemenangan umat Islam melawan nafsu selama sebulan,kau akan memakai baju yang sama..

Seolah-olah itulah pakaian seragammu untuk hari bahagia itu..

Dengan tenang kau mengusap rambutku dan menghadiahkan sekuntum senyuman buatku..

Kau kata tidak mengapa kerana hanya dipakai setahun sekali..

Aku menggangguk-angguk tanda mengerti..

Satu kucupan singgah di dahiku..

Aku membalas senyumanmu..hatiku girang…

Namun tika itu apa yang mampu aku lakukan sebagai seorang anak kecil untuk mengerti deritamu..


Tidak lama lagi puteri sulungmu memeterai ikatan janji sehidup semati bersama bakal pendamping hidupnya..

Kau gelisah lagi..

Tentu saja fikiranmu bercelaru saban waktu..

Menjelang saat lafaz sakinah itu terungkap..

Rumah kena baiki..

Bumbung yang melindungi kita dari basahnya hujan dan panasnya mentari selama ini semakin memperlihatkan keuzurannya..

Semakin banyak baldi di bawah bumbung itu menyambut kedatangan hujan..

Menandakan ia perlu diganti sebelum walimah puterimu menjelang..

Tapi kosnya bukan sedikit..

Akaun simpananmu telah habis membantu membiayai walimah puteramu hari tu..

Juga buat membiayai urusan pendaftaran puteri-puterimu melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi..

Kalau ada pun aku tahu ia tidak banyak..

Namun kekasihku...aku mengerti..

Kau bukanlah tidak bijak menabung..

Tapi apa yang mampu kau tinggalkan setiap kali hujung bulan..

Semuanya habis buat amanah-amanahmu..

Hatimu runsing..

Mana lagi nak cari..

Masa cuma tinggal beberapa bulan sahaja lagi..

Puteramu pula sudah berapa bulan belum mendapat pekerjaan selepas kehilangan kerja disebabkan kilang tempatnya bekerja tebakar..

Siapa lagi yang akan membantumu??

Saudara mara??

Tidak…kau bukan jenis yang suka mengharap bantuan orang lain..

Aku..ada setahun lagi menghabiskan pengajian..

Tentu sahaja hatimu dicarik gundah ketika ini..

Andai saja aku mampu meleraikan kekusutan di benakmu itu..

Tapi kau…

Bersabar lagi..

Masih menghadiahkan aku halwa telinga dengan suara tawamu di hujung talian..

Kau khabarkan aku kesihatanmu yang baik saban hari..

Sedang ku tahu..

Betapa sakitnya dirimu..

Betapa banyaknya airmata yang kau tahan..


Kekasihku..

Aku puterimu..

Yang menjadi harapanmu..

Saat ini..

Aku jauh di perantauan..

Di sebuah daerah yang mana Laut China Selatan memisahkan kita..

Detik-detik manis bersamamu sering kunjung hadir di kotak memoriku..

Tidak jemu kau menghadiahkan aku senyuman dan belaian kasihmu..

Sedang kau dalam derita..

Kagumnya diri memiliki kekasih sepertimu..

Tabah melaksanakan amanahmu..

Sabar menjadi teman setiamu..

Hati ini tidak lagi sanggup melihat kau mengharungi duka dan lara itu..

Yang kau harungi sejak zaman kanak-kanakmu lagi..

Zaman yang sepatutnya penuh dengan keriangan tawa bermain dengan rakan-rakan..

Tapi kau tidak..

Peluh mangalir pada tubuhmu bukan kerana bermain kejar-kejar bersama rakan..

Tapi kerana terkejar-kejar membanting tulang..

Kayu api di hutan, itulah sumber rezekimu..

Unggas-unggas, serangga, nyamuk adalah rakanmu sepermainanmu saat itu..

Semata-mata buat membantu keluarga tercinta..

Tidak akan ku sia-siakan segala pengorbananmu..

Tidak sabar rasanya aku ingin menamatkan pengajian..

Dan akan ku hapus segala deritamu itu..

Semoga tidak ada lagi airmata bergenang di kelopak matamu yang menanti saat untuk jatuh…

Semoga tidak ada lagi parut yang tinggal akibat gigitan sang suria..

Semoga perutmu tidak lagi merajuk sebab jarang kau layan permintaannya untuk diisi..

Semoga kau sentiasa bahagia di samping kekasihmu yang tercinta itu..


Kekasihku…

Doakan puterimu ini berjaya dengan cemerlang...

Dunia dan akhirat..

Serta ditetapkan jodoh pendamping hidup yang bakal membimbing diri menuju cinta Ar Rahman..

Harum cintanya membawa puterimu hingga ke syurga..


Aku cinta padamu…Ayah…….


Ya Rabb..terima kasih atas kekasih yang Kau takdirkan buatku ini…

Setiap yang Kau tentukan..

Terselit 1001 hikmah yang hanya mampu kuungkapkan rasa syukur di hati ini…

Ya Allah…selama ini jarang aku mengerti kepayahan orang lain menghadapi hidup sehari-hari…

Kerana diri dilimpahi nikmat yang hakikatnya jarang aku syukuri…

Ya Allah…tak terbendung lagi manik jernih ini..

Aku limpahkan ia di hadapanMu jua Ya Allah…

Sedih hatiku tak terbendung lagi mengenang nasib ayahku…

Lindungilah dia dan kekasih tercintanya daripada segala penyakit..

Kau ampunkanlah segala dosa mereka..

Dan jauhkanlah mereka daripada perkara-perkara yang mendatangkan murkaMu..

Lapangkan hati mereka ya Allah..

Keluarkanlah mereka dari kesusahan hidup..

Dan..sayangilah mereka lebih dari mereka menyayangiku sewaktu kecilku..

Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Amin Ya Rabbal Alamin……….


-puteri harapanmu-

Saturday, November 27, 2010

Jendela Hati...



Aku ingin hidup seCerah mentari pagi..

Yang menyinari di taman Hatiku..

Aku ingin seRiang kicauan burung..

Yang terdengar di jendela kehidupan..

Aku ingin segala-galanya damai..

Penuh mesra membuahkan Ceria..

Aku ingin menghapus duka dan lara..

Melerai rindu di dalam dada..

seDamai pantai yang memutih..

SeBersih titisan embun pagi..

Dan ukhuwah ini pasti berputik..

Menghiasi taman kasih yang harmoni..

Seharum wangian kasturi..

Seindah ceria pelangi..

Segalanya kan bermula di sini....


Monday, November 15, 2010

Kisah CAWAN....

Kisah ini merupakan satu teladan kepada kita semua tentang kenapa selama ini kita sering ditimpa dugaan yang adakalanya sukar untuk kita tanggung dan terlalu menyakitkan.

Sepasang datuk dan nenek pergi belanja di sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian mata mereka tertuju kepada cawan yang cantik. "Lihat cawan itu," kata si nenek kepada suaminya. "Kau betul, inilah cangkir tercantik yang pernah aku lihat," ujar si datuk. Pada ketika mereka mendekati cawan itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksud berbicara,

"Terima kasih untuk perhatian anda, perlu diketahui bahwa aku dulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cawan yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun suatu hari ada seorang penjunan dengan tangan kotor melempar aku ke sebuah roda berputar. Kemudian ia mulai memutar-mutar aku hingga aku merasa pening. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, 'Belum !' Lalu ia mulai menyodok dan meninju aku berulang-ulang. Stop! Stop ! teriakku lagi. Tapi orang ini masih saja meninjuku, tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi ia memasukkan aku ke dalam api. Panas! Panas ! Teriakku dengan kuat. Stop ! Cukup ! Teriakku lagi.Tapi orang ini berkata, 'Belum !' Akhirnya ia mengangkat aku dari api itu dan membiarkan aku sampai sejuk. Aku fikir, selesailah penderitaanku. Oh ternyata belum. Setelah sejuk aku diberikan kepada seorang wanita muda dan ia mulai mewarnai aku. Asapnya begitu memualkan. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Wanita itu berkata, ' Belum !' Lalu ia memberikan aku kepada seorang lelaki dan ia memasukkan aku sekali lagi ke api yang lebih panas dari sebelumnya ! Tolong ! Hentikan penyiksaan ini ! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya.Tapi orang ini tidak peduli dengan teriakanku. Ia terus membakarku. Setelah puas "menyiksaku" kini aku dibiarkan sejuk. Setelah benar-benar sejuk seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku dekat kaca. Aku melihat diriku.Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya, kerana di hadapanku berdiri sebuah cawan yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaanku yang lalu menjadi sirna tatkala kulihat diriku." Datuk dan nenek itu terdiam membisu. Lalu diceritakan kisah itu kepada cucunya.

Pengajaran:

Seperti inilah kehidupan membentuk kita. Dalam perjalanan hidup akan banyak kita temui keadaan yang tidak menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengubah kita supaya menjadi
'CANTIK'.

Jangan lupa bahawa cobaan yang kita alami tidak akan melebihi kekuatan kita. Ertinya tidak ada alasan untuk
tergoda dan jatuh dalam dosa apabila kita sedang menghadapi ujian hidup, jangan kecil hati, kerana Tuhan sedang membentuk kita. Bentukan-bentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai. Kita akan melihat betapa cantiknya Tuhan membentuk kita untuk kehidupan yang lebih baik dan bermakna di hari kemudian dan hari pembalasan (akhirat).

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya..” [Surah al-Baqarah : 286].


Wallahua'lam......^^,

Friday, November 5, 2010

Tinta Terakhir…….


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.....

Setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, para tabi’e seterusnya kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Sahabat-sahabat ana sekalian, tugas utama kita yang masih bergelar pelajar Islam ialah menuntut ilmu. Dengan ilmu itu kita mampu mengukur kelemahan diri dan tahu bagaimana untuk memperbaikinya. Dari dengan itu kita akan dapat menambahkan amal bakti kita kepada Tuhan. Bermula dari rentetan baru juga akan bermula tugas kita memperbaiki dan memimpin umat. Jika tidak dengan ilmu itu, akan merosakkan diri sendiri bahana ilmu akan menjadikan kita serba tahu. Sedangkan sebenarnya, orang yang paling tinggi ilmunya itu adalah orang yang paling merasa hina di hadapan Allah Yang Maha Besar.

Pada kesempatan ini, ana ingin mengimbau kembali sejarah atau latar belakang Badan Dakwah dan Masjid Kolej Islam Sains dan Teknologi (BDMKIST) sesi 2009/2010. Badan ini dahulunya dikenali sebagai Badan Surau KIST, namun ia telah ditukarkan kepada Badan Dakwah dan Masjid KIST bagi meluaskan lagi skop dakwah yang hendak dijalankan. Dan ia telah dibentuk dengan rasminya pada April 2009 apabila mesyuarat agung untuk pemilihan Exco utama dan perlantikan Pengerusi baru oleh kerana disebabkan Pengerusi pada ketika itu, Akh Ahmad Syahin akan keluar menjalani praktikal dan tamat pengajian sejurus setelah itu. BDMKIST telah diilhamkan oleh Akh Mohd Hafizul Amin yang merangkap Pengerusi baru pada ketika itu bersama mantan pegerusi, Akh Ahmad Syahin dalam mesyuarat agung itu yang dijalankan di Masjid Ibnu Sina KIST sendiri. Pada permulaan pembentukan AJK, hanya terdapat enam Biro yang ditubuhkan iaitu Sekretariat Pembangunan Modal Insan, Biro Penerbitan & informasi, Biro Kebersihan & keceriaan, Biro Aktiviti, Biro Makanan dan Biro Kebajikan & Helwani. Tetapi selepas beberapa bulan, keperluan untuk mewujudkan dua Biro baru telah dilihat dan dicadangkan oleh saudara Pengerusi sendiri untuk mewujudkan Biro Ekonomi dan Kewangan dan Jawatankuasa Kerja Masjid Ibnu Sina (JKMI) . Sehingga kini terdapat lapan Biro telah ditubuhkan bagi melicinkan pengurusan masjid sekaligus membantu mengendalikan masjid ini agar benar-benar berfungsi seperti yang dituntut di dalam Islam.

Semenjak penubuhan badan ini, telah banyak program yang dijanakan bagi mendekatkan lagi pelajar KIST dengan Islam. Pihak kami percaya dan yakin bahawa kemelut sosial yang dihadapi oleh golongan remaja masa kini dapat disinari kembali dengan cahaya iman dan Islam. Sesungguhnya, badan ini bakal melahirkan pimpinan pelajar yang berkarisma, berketerampilan dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Dengan kata lain badan ini telah menjadi pendorong kepada ahlinya untuk mempraktikkan segala teori dan pengalaman yang diperolehi.

Sahabat-sahabat ana sekalian, secara amnya, terlalu banyak kelemahan dan kesilapan yang dibuat selama kami memegang amanah dalam saf kepimpinan. Ketahuilah bahawa saf kepimpinan ini merupakan insan biasa yang mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan. Sebagai hamba Allah yang daif, pertolongan dan bantuanNya sajalah yang diharapkan dalam melaksanakan dan menyempurnakan amanah. Lantaran itu, saf kepimpinan BDMKIST menyusun sepuluh jari memohon keampunan daripada Allah SWT sekiranya amanah yang diberikan ini tidak mampu disempurnakan dan juga kepada seluruh ahli kariah BDMKIST dan warga KIST, jika ada kecacatan dan tempangnya tanzim kita sepanjang kami mengemudi bahtera badan ini. Kelemahan yang lepas dijadikan pengajaran untuk kita meneruskan agenda gerak kerja Islam pada masa akan datang. Buat pembaca Lisanul Hakim, ana dan seluruh saf kepimpinan badan ini memohon maaf andainya terdapat kelemahan dan tulisan yang menyinggung hati anda sekalian sepanjang penerbitannya. Semoga setiap edisi yang telah dan akan diterbitkan dapat dijadikan panduan yang berguna dan ilmu yang bermanfaat untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Kepada saf kepimpinan yang baru, teruskanlah perjuangan. Perbaikilah kelemahan-kelemahan sebelum ini dan semoga amanah yang diwariskan kepada antum semua dapat disempurnakan dengan baik. Intiplah hikmah dan sabar dalam setiap apa jua yang berlaku, semoga menjadi pengajaran dan pengalaman hidup untuk menjadi lebih matang. Jalankan tanggungjawab sebaik mungkin kerana setiap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita akan disoal di akhirat nanti.

Tidak lupa juga kepada pensyarah jawatankuasa induk yang telah membimbing kami untuk mengemudi badan ini. Perhargaan khas kepada Tuan Presiden KIST, Encik Muhamad Zamly Bin Abdullah merangkap sebagai penaung BDMKIST kerana telah menyokong segala aktiviti yang dijalankan. Kepada Ust. Soleh Ibrahim, Ust. Mursyidi, Ust. Atlizan, Ust. Azib, Ustz. Siti Nur Syila dan kepada semua pensyarah (tidak dapat disebutkan semua), terima kasih yang tidak terhingga. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala budi yang ditaburkan kepada kami. Segala ilmu dan tunjuk ajar akan kami semat buat panduan.

Akhirul kalam, semoga selama hampir setahun lebih pengembaraan kita menerajui saf kepimpinan ini menjadikan diri kita benar-benar matang dan tahu menilai kelemahan diri sendiri. Kepada sahabat-sahabat seperjuangan semua, semoga mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir semester 4 ini. InsyaAllah, amin. Selamat menduduki peperiksaan dan salam imtihan buat semua. Semoga berjaya di dunia dan akhirat. Dunia di tangan, akhirat di hati. Wassalam…

“ Buatlah yang terbaik untuk Tuhanmu, buktikanlah kemurnian cintamu padaNya, serlahkan kesungguhan ubudiyyahmu…InsyaAllah rahmatNya pasti bersamamu..”


Timbalan Pengerusi BDMKIST sesi April 2009/Oktober 2010

Photobucket

Doa Mohon Istiqamah Dalam Taat & Beribadat

Doa Rasulullah SAW di akhir solat, sebelum salam:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari azab neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah dajjal dan dari sebarang fitnah sewaktu hidup juga ketika menghadapi kematian”.



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari sebarang jenis dosa dan bebanan hutang.”


Doa memohon agar ditetapkan iman



يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agama-Mu”


Doa memohon agar terus beristiqamah



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari terpesong dari landasan yang benar setelah mendapat hidayah (Iman)”.


Doa Mohon Tetapkan Pendirian



اللَّهُمَّ ثَبِّتْنِيْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآَخِرَةِ

Maksudnya: Wahai Tuhanku, Teguhkan aku dengan perkataan yang teguh di dunia (La ilaha illallah) dan di akhirat (sewaktu disoal dalam kubur)


اللَّهُمَّ آمِيْنَ

Photobucket

Followers


وَاصبِر نَفسَكَ مَعَ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِىِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ وَلا تَعدُ عَيناكَ عَنهُم تُريدُ زينَةَ الحَيوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلا تُطِع مَن أَغفَلنا قَلبَهُ عَن ذِكرِنا وَاتَّبَعَ هَوىٰهُ وَكانَ أَمرُهُ فُرُطًا ﴿٢٨

Maksudnya : “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”


Surah Al-Kahfi : 28



يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ٌ

Maksudnya : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (TA’ARUF). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Surah Al-Hujurat : 13


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٌ۬ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٍ۬‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

Surah al-Hasyr : 18

Photobucket
Photobucket