Manusia secara fitrahnya hanya akan merasakan sesuatu itu penting tatkala memerlukan atau sedang dalam kesusahan yang amat sangat. Akan tetapi kita lupa bahawa hidup ini ibarat sebuah cerita yang ada permulaan, pertengahan dan akan berakhir di hujungnya. Sebuah cerita yang tidak akan ada ulangan episod. Hanya ruang dan peluang untuk memperbetulkan plot seterusnya sahaja yang ditawarkan oleh Pencipta skripnya yakni Allah SWT Yang Maha Esa.
Kejadian alam yang maha indah dan sempurna sering kita pandang sepi sedangkan alam ini yang kita pinjam setiap waktu. Kita lupa bahawa setiap hari yang dilalui adalah hak Allah SWT dan kita hanya meminjamnya buat melangsaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Tidak kira siapa kita, setiap yang dilakukan harus kerana Dia, Tuhan pemilik sekalian alam. Mengingati Allah SWT seharusnya tidak susah. Menginsafi diri pula sepatutnya tidak sukar kerana Allah SWT mengiringi setiap langkah kita dengan peringatan yang berulang ganti.
“…Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah penciptaan langit dan bumi dan begitu juga berlain-lainan bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu sebagai bahan renungan bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah ar-Rum : 22]
Selalunya, Allah SWT menghantar rahmatNya bersama hujan yang membasahi bumi tanpa mengira siapa yang taat, siapa yang ingkar. Kadang-kadang, Allah SWT mengirim amaran melalui banjir tanpa mengasingkan siapa yang sujud, siapa yang angkuh. Sekali-sekala, Allah SWT mengutus balasan berwajah taufan, juga tanpa membezakan siapa yang setia dan siapa pula yang sombong. Ini semua kerana kita manusia diciptakan saling bergantungan dan harus bertanggungjawab sesama kita.
Maka berdoalah. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara kita dari kelalaian dan kekhilafan sedangkan kita tanpa segan berjalan, berlari dan ada kalanya berjengket di atas muka bumi ini tanpa mengingatiNya, hingga langkah itu boleh membuat kita tersungkur menyembah semula ke bumi.
“…Sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang terus-menerus berdoa.” [Hadis Riwayat Al-Auza’i]
.::Diari Sufi::.
No comments:
Post a Comment