Tiga perkara sudah dijanjikan Allah SWT yang tertulis di Lohmahfuz atas kesemua umat manusia adalah rezeki, jodoh dan ajal. Perjanjian ini akan terlaksana tanpa sedetik pun lewat apabila tiba masanya. Usahkan ribut, taufan sekali pun tidak boleh mengganjakkan janji ini. Hanya doa yang mampu kita pinjam sebagai pena untuk mencoret kepada kisah pengakhir janji Tuhan itu. Tiadalah daya kita mempersoalkan apa yang diatur olehNya yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Kita didatangkan sebagai selemah-lemah kejadian dengan seberat-berat tanggungan.
“..Dan diciptakanNya manusia itu dalam keadaan lemah.” [Surah an-Nisaa : 28]
Berdoalah wahai manusia kerana itu saja senjata yang kita ada dalam menangani janji dan sumpah Allah SWT. Dia Maha Mendengar dan Dia lebih tahu apa yang kita perlu daripada apa yang kita mahu. Biar separah mana pun luka merobek hati kita, berdoalah. Allah SWT Maha Mendengar. Biar sedalam mana pun luka yang tertoreh, berdoalah kerana Allah SWT Maha Memahami hati hambaNya.
“..(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” [Surah ar-Rad : 28]
Perginya seorang insan menghadap penciptaNya adalah satu episod baru baginya. Berat dan besar beban yang dibawa bergantung bagaimana dia menikmati nikmat umur yang Allah SWT pinjamkan untuk tempoh yang sudah ditandatangani tanda setuju sejak di dalam rahim ibu lagi. Sedangkan kita yang masih berpeluang menghirup udara segar, tanpa sedar terus meratapi dan mempersoalkan kenapa insan yang mungkin kita agungi itu dijemput, sedangkan kita masih belum mahu menghantarnya. Kita lupa bahawa kita juga akan ke sana bila tiba giliran yang ditetapkan. Apa cukup bersediakah kita hingga kadang-kadang kerana terlalu mengikutkan pedihnya hati yang kehilangan, ada antara kita yang terlepas kata ingin menurut jejak insan tersayang yang pejam buat selamanya. Jangan dicabar kerja Tuhan…
Hari ini kita bertemu…
Hari esok belum tentu…
Hari ini kita bersatu…
Hari esok Tuhan yang tahu…
Selamat jalan sahabat…
Selamat jalan perwira…
Selamat jalan ibu…
Selamat jalan ayah…
Selamat jalan siapa pun di sana…
Satu waktu, aku akan menyusul jua…
.::Diari Sufi::.
No comments:
Post a Comment